Pages

Saturday, February 18, 2012

Allah adalah kekuatannya!




Alhamdulillah, hari itu usai sudah kami bertadabbur surah An-Naba’ dalam halaqah kecil di sebuah bumi barakah . Meskipun ada diantaranya sibuk dengan fyp dan thesis, kuliah siang dan malam, dicampur dengan tanggungjawab-tanggungjawab lain lagi yang harus dilaksanakan, tapi Allah masih beri kami peluang untuk duduk bersama sebentar dan beriman sejenak.Semoga halaqah kecil ini menjadi sebuah taman syurga yang sentiasa dirindui oleh ahli-ahlinya.


“Akak free bile ye this week? Agak-agak bila kita boleh set date untuk jumpa?”

“Minggu ni kami tengah siapkan proposal,”

“Oh ye ke… Nampaknya busyla satu dua minggu ni ye?”

“Alaah…Janganlah cakap kitorang busy. InsyaAllah kitorang akan cari masa untuk attend halaqah ni,”


Saya terdiam sejenak. Saya kagum dengan semangat yang ada pada diri mereka.  Walaupun hampir memasuki tahun akhir pengajian dan pastinya masa mereka lebih dituntut untuk fokus pada pelajaran apatah lagi proposal dan thesis final year project yang sangat menyesakkan jiwa, tetapi badan dan hati mereka tidak pernah letih! Agaknya apa kekuatan mereka untuk terus beramal?

“Syurga!”

Tadabbur ayat 31-40 surah An-Naba’ memberi kami pelajaran dan peringatan dengan sendirinya.

“Allah adalah kekuatan kita untuk terus beramal dan syurga sebagai balasannya”

Benar. Tepat.

Dan itulah yang harus kita selalu cuba jadikan kekuatan untuk terus beramal. Jika Allah dan redhaNya menjadi dambaan, pasti kita tak akan pernah serik untuk terus berjalan dan melangkah di atas laluan yang telah kita yakini ini.

Teringat peristiwa ketika di tingkatan 5 dahulu. Walaupun saya pernah tinggal di Shah Alam tetapi masih banyak tempat yang belum betul-betul saya kenali lagi. Suatu hari, seusai halaqah dan mabit di sebuah syukbah di Shah Alam, saya beranikan diri untuk menaiki bas di kawasan itu buat pertama kalinya. Hajat ingin bertukar bas di seksyen 7 dan seterusnya mengambil KTM untuk pulang ke rumah. Namun saya terlepas kawasan, dan bas meluncur laju menghala ke Pasar Seni Kuala Lumpur. Allah sahaja yang tahu betapa gusarnya saya saat itu.

Macam mana ni, tak pernah sampai KL lagi ni ,” dalam hati tidak putus-putus saya berzikir semoga Allah tenangkan sedikit hati.

Saya beranikan diri untuk bertanya pada pemandu bas bagaimana caranya untuk pergi ke lembah Klang dari situ. Setelah diberi arah tunjuk dan bas mana yang perlu dinaiki dan ditukar, saya melangkah turun dari bas. Namun sebaik sahaja kedua-dua kaki saya menjejakkan kaki ke atas tanah, SUBHANALLAH.

‘PORT KLANG’ , tertera besar di depan bas yang betul-betul berada di hadapan saya.

Saya terus menaiki bas tersebut. Hamdalah. Allah tak pernah biar saya sendiri.  Dia hantarkan saya bantuan dengan serta merta beserta bonus. Bas tersebut direct ke kawasan saya. Sampai sahaja di perhentian bas pelabuhan, saya terus menghubungi ayah untuk menjemput kerana kesukaran untuk mendapatkan bas di situ untuk ke taman perumahan kami. Namun saya diamkan cerita ini dari pengetahuan ayah, pastinya kerana tidak mahu dia risau.

Bukan Teori Semata

Dan kini, bila melangkah ke bumi barakah Melaka saya belajar sesuatu dari pengalaman lalu. Pergi dan pulang dari halaqah di kawasan yang  belum pernah lagi saya jejakkan kaki. Kadangkala, disimbahi hujan yang lebat tatkala menunggu bas. Berjalan sendiri merempuh  gelapnya malam dengan kegusaran hati. Walaupun pada akhirnya semua ini kadang-kala membuatkan hujan menderas turun dari hati namun di kala itulah Dia selalu menyedarkan saya bahawa jalan dakwah ini bukan sekadar teori yang saya pelajari. Bukan juga nasyid yang suka saya dendang-dendangkan.

Menapaki langkah-langkah berduri,
Menyusuri rawa lembah dan hutan,
Berjalan di antara tebing curam,
Semua dilalui demi perjuangan.

Letih tubuh di dalam perjalanan,
Saat hujan dan badai merasuki badan,
Namun jiwa harus terus bertahan,
Karena perjalanan masih panjang.


Tapi inilah praktikalnya. Praktikal sebenar. Agar kita bukan sekadar pandai bernyanyi tentang lagu perjuangan, mengarang ayat-ayat puitis dan hebat dalam teorinya tapi mudah lemah saat berhadapan dengan peperangan sebenar. Pakaian perang dah ada  tapi belum mampu menghunuskan pedang je. Erk*betul ke perumpamaan saya ni. Allahu~ saya sangat terasa. Kena balik pada batang hidung sendiri.

Medan Sebenar


Akhawat fillah,

Akhirnya pelajaran apakah yang kita dapat dari semua ini? Mungkin segelintir daripada kita, akan fobia lagi untuk menaiki bas seorang diri. Fobia sesat lagi dan lepas ini hanya mahu naik teksi sahaja. Namun tarbiyyah mengajarkan pada kita bahawa jangan biarkan fobia itu menghantui diri. Lawanlah rasa itu dan belajarlah sesuatu. Allah jualah kekuatan untuk melawan dan mengatasi segala rasa yang datang itu.

Namun lebih dari itu, saya belajar sesuatu dari pengalaman pertama tersesat hingga ke Kuala Lumpur bahawa perlunya kebergantungan kepada Allah pada setiap saat. Bukan hanya ketika susah malah ketika senang. Ingatilah Allah, nescaya Dia akan mengingati kita. Jangan pernah melupakan Dia, nescaya Dia tak akan pernah melupakan kita. Lebih-lebih bagi diri setiap wanita, amat pentingnya memohon pemeliharaan Allah ketika berada dalam perjalanan apatah lagi bila seorang diri ditambah pula ketika waktu kian gelap (walaupun tidak digalakkan, tetapi jika waktu dan keadaan mendesak)  Sedaya usahalah untuk mengamalkan zikir ma'thurat.

Selebihnya, bertawakkallah kepada Allah dan semoga Allah terus menetapkan kita di atas jalan dakwah ini. Kita tidak pasti apa yang akan berlaku di masa yang ke hadapan namun sentiasalah memohon padaNya agar iman kita sentiasa berpaksi di atas jalan kebenaran ini.

Semoga saya dan kalian, akhwati akan terus dikuatkan Allah di medan perjuangan masing-masing. Terus dikuatkan Allah kerana Dialah sumber segala kekuatan. Allah dan syurga sebagai motivasi untuk terus beramal.


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.”

 (Surah At-Taubah:111)

Last but not least, saya dedikasikan nasyid ini buat kalian, para pejuang.

Menapaki langkah-langkah berduri,
Menyusuri rawa lembah dan hutan,
Berjalan di antara tebing curam,
Semua dilalui demi perjuangan.

Letih tubuh di dalam perjalanan,
Saat hujan dan badai merasuki badan,
Namun jiwa harus terus bertahan,
Karena perjalanan masih panjang.

Kami adalah tentera Allah,
Siap melangkah menuju ke medan juang,
Walau tertatih kaki ini berjalan,
Jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan.

Wahai tentera Allah bertahanlah,
Jangan menangis walau jasadmu terluka,
Sebelum engkau bergelar SYUHADA,
Tetaplah bertahan dan bersiap siagalah


Saturday, February 4, 2012

hadiah & anugerah




Emak dan ayah adalah perkara yang paling dihargai dalam diri setiap anak-anak. Setuju dengan saya?

Jika tidak ;

Tiadalah kebanyakan program-program motivasi yang ada akan menyelitkan tentang ibu dan ayah dalam ceramah-ceramah mereka.

Anak-anak juga  tidak kurang emosinya , maksud saya, kita pasti akan menangis bila disentuh soal emak dan ayah walaupun ada yang mengatakan tangisan itu cuma insaf sebentar. Lepas keluar dari program motivasi, hanya insaf  sebentar untuk sehari dua kemudian kembali ke tabiat lama.

Saya pernah berjumpa dengan sekumpulan manusia. Saya pernah mendengar keluhan hati mereka.  Saya pernah membaca di dada akhbar. Saya pernah menonton cerita berkisar kekeluargaan di tv yang sebenarnya kisah-kisah tersebut mengisahkan hal yang sebenar. Ohhh, semuanya tentang mereka ya. Tidak salah untuk saya katakan, kadang-kala kita juga pernah terdetik di hati sepertimana mereka.

Tentang apa? Tentang luahan seorang anak yang berduka cita dia dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Kurang wang ringgit, kurang kasih sayang, semuanya serba kurang.


“Kak, kenapa family saya tak macam orang lain ya? Kenapa saya dapat family yang macam ni? Kenapa mak ayah saya tak macam mak ayah orang lain?”

“Kak, saya dah penat hidup macam ni. Mak ayah saya tak pernah nak faham saya dan diorang takkan pernah  nak faham saya”

“Saya malu la kalau mak ayah saya datang sekolah. Yela, mak ayah saya tak macam orang lain”

“Hidup ni tak adil. Yela, ade orang bernasib baik dapat mak ayah yg baik. Tapi yang tidak bernasib baik macam mana pula?”


Dan tak kurang juga..


Awak senangla cakap. Sebab awak tak rasa apa yang saya rasa. Saya yang tanggung beban derita ni..bukannya awak”

"Takpela, dah takdir saya dapat mak ayah and family macam ni. Nak buat macam mana kan.. So, saya hanya akan mengikut je aturan takdir ni"

Banyaknya keluhan, rungutan, kekecewaan, kesedihan, kederitaan yang digambarkan. Tidak adilkah dunia ini? Berkata dunia ini tidak adil, bererti mengatakan Allah itu tidak adil. Sedangkan kita semua tahu Allah menjadikan tiap-tiap sesuatu itu dengan aturan dan hikmahNya yang tersendiri. Allah, Tuhan yang menciptakan kita, Dia menyayangi kita melebihi kasih sayang seorang ibu ayah terhadap anaknya. Jadi setiap apa yang dia aturkan semuanya adalah yang terbaik untuk kita. Bukan sekali-kali bertujuan untuk menyakiti hati kita atau memudaratkan diri kita.

Bukan sekadar takdir semata.

Sahabat fillah…

Dalam hidup ini kita memang tidak boleh memilih siapa keluarga kita, siapa emak dan ayah kita, siapa adik-beradik kita kerana ketahuilah bahawa emak dan ayah adalah ANUGERAH ALLAH YANG TIDAK TERNILAI. Walau siapa pun mereka, mereka adalah hadiah dan pemberian dari Allah kepada kita. Jika kita sebagai anak-anak adalah harta yang tiada tandingannya buat emak dan ayah maka begitu jugalah dengan hadirnya emak dan ayah sebaik kita mencelikkan mata ke dunia ini. Mereka adalah anugerah, hadiah dan pemberian, bukan hanya sekadar takdir yang diaturkan Tuhan.

Sayangnya Allah pada kita kan? Dianugerahinya kita seorang emak dan seorang ayah walaupun di mata kita semuanya wujud serba kekurangan pada diri mereka. Tapi di sebalik kekurangan itulah punya hikmah. Hanya jika mahu meneliti dengan kaca mata orang yang beriman.

Saya selalu berharap agar dapat sentiasa berada di sisi emak dan ayah saya dalam suatu tempoh yang lebih panjang di dunia ini. Tapi saya tahu kasih sayang Allah pada mereka melebihi kasihnya saya pada mereka. Di dunia kita pasti akan terpisah. Tapi dalam diam, saya juga selalu berharap semoga kami akan dipertemukan kembali di tempat yang lebih abadi, di syurga kerana mereka benar-benar hadiah yang paling bermakna yang Allah berikan pada saya.


 Akhir kalam, saya terjumpa ini. Selamat menonton J

Monday, November 28, 2011

Ibarat Kereta Manual



“Awak ada lesen tak”

“Ada”

“Boleh bawa manual?”

“Erk…bawa time kat sekolah memandu je. Dapat lesen, dah tak pernah practise drive manual lagi kak”

“Haaa? Rugilah awak”

Terdiam. Mengakui kebenaran.

Pada asalnya, saya begitu bersemangat mengambil lesen walaupun tak pernah memegang streng kereta sebelum ini. Hanya dengan satu tujuan, mudah ke program. Dengan menggunakan elaun mara yang disimpan selama beberapa bulan, saya daftarkan diri untuk mengambil lesen kereta. Awalnya saya begitu teruja kerana lulus teori dengan markah pernuh 50/50 sehingga ada rakan yang baru dikenali menyindir saya,


“Awak datang ceramah hari apa”

“Ahad lepas”

“Haa? Pastu amek test hari rabu. Biar betol. Awak hafal buku tu macam nak periksa SPM ke?”


Saya hanya tersenyum. Apa yang penting, saya tidak perlu mengeluarkan not lima puluh ringgit untuk mengulangi test komputer.  Sejujurnya saya agak tergesa-gesa kerana saya perlu menghabiskan dalam masa dua bulan kerana ketika itu cuti semester. Jika saya terlewat, atau barangkali tidak melepasi apa-apa bahagian ujian maka saya perlu menangguhkan ke cuti semester yang hadapan. Belajar di Melaka tetapi lessen di ambil di Selangor. Agak mustahil untuk berulang-alik hanya semata-mata untuk repeat test.Tambahan pula, di sekolah memandu tersebut, waktu test JPJ adalah pada hari Selasa, waktu kelas.

Namun dalam kelas praktikal, jujur saya hancur. Untuk sedapkan hati, saya katakan pada diri saya, biasala first time bawa kereta. Nanti lama-lama biasala.

Kelas pertama, kelas kedua , kelas ketiga, kelas keempat dijalani seperti biasa. Namun tiada satu pun yang menunjukkan saya layak untuk menduduki test JPJ. Saya sering tersangkut di tiga penjuru walaupun bukit dan parking lepas. Bukan setakat langgar garisan putih tapi langgar divider sekali.  Setelah test pra-JPJ, saya mengambil keputusan untuk menambah kelas dengan bayaran RM60 untuk dua jam sehari sebelum test JPJ. Sekolah memandu menjanjikan tempat kosong namun sehari sebelum kelas bila saya ingin memastikan kembali, hampa sungguh jawapannya.


Dik, kereta semua dah penuh la. Awak pi je la test selasa nanti. Tak payah tambah kelas la


Jujur. Saya rasa sangat terkilan ketika itu. Pagi selasa, tanpa semangat saya hadirkan diri ke sekolah memandu. Saya tidak pasti entah apa yang akan berlaku, semuanya saya serahkan pada Yang Maha Menguasai. Saya tidak mampu untuk target saya akan lulus test JPJ yang pertama ini. Lulus dekat jalan raya pun jadilah.

Namun, segalanya Alhamdulillah. Dengan kuasa Allah,Dia berikan saya kelulusan untuk ujian litar dan jalan raya pada hari itu. Sedikit kelegaan di hati. Semuanya dengan izin Allah semata. Akhirnya tanpa diduga lesen berjaya diperoleh seminggu sebelum cuti semester tamat, seperti yang ditargetkan pada awalnya.

Pulang ke rumah, saya berfikir. Beginilah dakwah ini diibaratkan. Dakwah ini ibarat kita membawa kereta manual. Payah dan sukar. Nak tukar gear. Nak seimbangkan clash dan minyak ketika berhenti di bukit. Lebih payah dari kereta auto.

Lagi-lagi, bila kita sudah terbiasa membawa kereta auto dan meninggalkan manual. Bila dalam keadaan terdesak atau kecemasan yang mana ketika itu tidak ada kereta auto, nak tak nak kita terpaksa menggunakan manual. Terpaksa redah juga jalan raya , bukit bukau bersama kereta manual . dan kebiasaannya dalam keadaan-keadaan terdesak begini, kita selalunya dapat memandu kereta manual itu hingga ke destinasi kita. La hawla wala quwwata illa billah.



Akhawat fillah, dan seperti inilah dakwah kita diibaratkan.

Bila mana Allah mencampakkan kita ke sesuatu tempat dan di situ tiada sahabat-sahabat yang sering bersama-sama kita ke daurah atau program seperti dahulu. Hanya KITA. Sama ada mahu atau tidak, kita harus terus bergerak walaupun mungkin seorang diri. Ingat semula doa yang pernah kita minta dari Dia,


Ya Allah tempatkanlah aku di tempat yang benar-benar memerlukan aku


Nah, Allah hantar kita di sini. Di tempat yang benar-benar memerlukan kita.  Maka, berhentilah mengeluh dan terus menangis. Daripada kita terus menunggu sesuatu yang tidak pasti, menunggu ada sahabiah-sahabiah yang lain untuk ditempatkan bersama-sama kita baru kita nak menggerakan dakwah ini, maka lebih baik kita mula bergerak dahulu, Walaupun seorang.

Kuatkanlah tarbiyyah zatiyyah dalam diri. Terkadang bila kita seorang diri, kita lebih berdikari dan akal kita lebih cerdas dan kreatif dalam merangka program-program tarbawi dan juga program-program tarbiyyah untuk diri kita.

Teruslah bersemangat dengan hammasah yang tinggi dalam memperbaiki diri dan mengajak sahabat-sahabat yang lain ke destinasi yang sama. Mengumpul bilangan-bilangan perkerja-pekerja yang mahu mengorbankan jiwa dan diri mereka di jalan ini. Mungkin hari ini kita seorang, esok lusa siapa tahu bilangan itu mungkin bertambah. Allahumma amen.


Hanya satu,

Terus bergerak walaupun sedikit, daripada hanya terus menunggu.

Moga thabat, sahabiah sekalian.