Pages

Saturday, February 18, 2012

Allah adalah kekuatannya!




Alhamdulillah, hari itu usai sudah kami bertadabbur surah An-Naba’ dalam halaqah kecil di sebuah bumi barakah . Meskipun ada diantaranya sibuk dengan fyp dan thesis, kuliah siang dan malam, dicampur dengan tanggungjawab-tanggungjawab lain lagi yang harus dilaksanakan, tapi Allah masih beri kami peluang untuk duduk bersama sebentar dan beriman sejenak.Semoga halaqah kecil ini menjadi sebuah taman syurga yang sentiasa dirindui oleh ahli-ahlinya.


“Akak free bile ye this week? Agak-agak bila kita boleh set date untuk jumpa?”

“Minggu ni kami tengah siapkan proposal,”

“Oh ye ke… Nampaknya busyla satu dua minggu ni ye?”

“Alaah…Janganlah cakap kitorang busy. InsyaAllah kitorang akan cari masa untuk attend halaqah ni,”


Saya terdiam sejenak. Saya kagum dengan semangat yang ada pada diri mereka.  Walaupun hampir memasuki tahun akhir pengajian dan pastinya masa mereka lebih dituntut untuk fokus pada pelajaran apatah lagi proposal dan thesis final year project yang sangat menyesakkan jiwa, tetapi badan dan hati mereka tidak pernah letih! Agaknya apa kekuatan mereka untuk terus beramal?

“Syurga!”

Tadabbur ayat 31-40 surah An-Naba’ memberi kami pelajaran dan peringatan dengan sendirinya.

“Allah adalah kekuatan kita untuk terus beramal dan syurga sebagai balasannya”

Benar. Tepat.

Dan itulah yang harus kita selalu cuba jadikan kekuatan untuk terus beramal. Jika Allah dan redhaNya menjadi dambaan, pasti kita tak akan pernah serik untuk terus berjalan dan melangkah di atas laluan yang telah kita yakini ini.

Teringat peristiwa ketika di tingkatan 5 dahulu. Walaupun saya pernah tinggal di Shah Alam tetapi masih banyak tempat yang belum betul-betul saya kenali lagi. Suatu hari, seusai halaqah dan mabit di sebuah syukbah di Shah Alam, saya beranikan diri untuk menaiki bas di kawasan itu buat pertama kalinya. Hajat ingin bertukar bas di seksyen 7 dan seterusnya mengambil KTM untuk pulang ke rumah. Namun saya terlepas kawasan, dan bas meluncur laju menghala ke Pasar Seni Kuala Lumpur. Allah sahaja yang tahu betapa gusarnya saya saat itu.

Macam mana ni, tak pernah sampai KL lagi ni ,” dalam hati tidak putus-putus saya berzikir semoga Allah tenangkan sedikit hati.

Saya beranikan diri untuk bertanya pada pemandu bas bagaimana caranya untuk pergi ke lembah Klang dari situ. Setelah diberi arah tunjuk dan bas mana yang perlu dinaiki dan ditukar, saya melangkah turun dari bas. Namun sebaik sahaja kedua-dua kaki saya menjejakkan kaki ke atas tanah, SUBHANALLAH.

‘PORT KLANG’ , tertera besar di depan bas yang betul-betul berada di hadapan saya.

Saya terus menaiki bas tersebut. Hamdalah. Allah tak pernah biar saya sendiri.  Dia hantarkan saya bantuan dengan serta merta beserta bonus. Bas tersebut direct ke kawasan saya. Sampai sahaja di perhentian bas pelabuhan, saya terus menghubungi ayah untuk menjemput kerana kesukaran untuk mendapatkan bas di situ untuk ke taman perumahan kami. Namun saya diamkan cerita ini dari pengetahuan ayah, pastinya kerana tidak mahu dia risau.

Bukan Teori Semata

Dan kini, bila melangkah ke bumi barakah Melaka saya belajar sesuatu dari pengalaman lalu. Pergi dan pulang dari halaqah di kawasan yang  belum pernah lagi saya jejakkan kaki. Kadangkala, disimbahi hujan yang lebat tatkala menunggu bas. Berjalan sendiri merempuh  gelapnya malam dengan kegusaran hati. Walaupun pada akhirnya semua ini kadang-kala membuatkan hujan menderas turun dari hati namun di kala itulah Dia selalu menyedarkan saya bahawa jalan dakwah ini bukan sekadar teori yang saya pelajari. Bukan juga nasyid yang suka saya dendang-dendangkan.

Menapaki langkah-langkah berduri,
Menyusuri rawa lembah dan hutan,
Berjalan di antara tebing curam,
Semua dilalui demi perjuangan.

Letih tubuh di dalam perjalanan,
Saat hujan dan badai merasuki badan,
Namun jiwa harus terus bertahan,
Karena perjalanan masih panjang.


Tapi inilah praktikalnya. Praktikal sebenar. Agar kita bukan sekadar pandai bernyanyi tentang lagu perjuangan, mengarang ayat-ayat puitis dan hebat dalam teorinya tapi mudah lemah saat berhadapan dengan peperangan sebenar. Pakaian perang dah ada  tapi belum mampu menghunuskan pedang je. Erk*betul ke perumpamaan saya ni. Allahu~ saya sangat terasa. Kena balik pada batang hidung sendiri.

Medan Sebenar


Akhawat fillah,

Akhirnya pelajaran apakah yang kita dapat dari semua ini? Mungkin segelintir daripada kita, akan fobia lagi untuk menaiki bas seorang diri. Fobia sesat lagi dan lepas ini hanya mahu naik teksi sahaja. Namun tarbiyyah mengajarkan pada kita bahawa jangan biarkan fobia itu menghantui diri. Lawanlah rasa itu dan belajarlah sesuatu. Allah jualah kekuatan untuk melawan dan mengatasi segala rasa yang datang itu.

Namun lebih dari itu, saya belajar sesuatu dari pengalaman pertama tersesat hingga ke Kuala Lumpur bahawa perlunya kebergantungan kepada Allah pada setiap saat. Bukan hanya ketika susah malah ketika senang. Ingatilah Allah, nescaya Dia akan mengingati kita. Jangan pernah melupakan Dia, nescaya Dia tak akan pernah melupakan kita. Lebih-lebih bagi diri setiap wanita, amat pentingnya memohon pemeliharaan Allah ketika berada dalam perjalanan apatah lagi bila seorang diri ditambah pula ketika waktu kian gelap (walaupun tidak digalakkan, tetapi jika waktu dan keadaan mendesak)  Sedaya usahalah untuk mengamalkan zikir ma'thurat.

Selebihnya, bertawakkallah kepada Allah dan semoga Allah terus menetapkan kita di atas jalan dakwah ini. Kita tidak pasti apa yang akan berlaku di masa yang ke hadapan namun sentiasalah memohon padaNya agar iman kita sentiasa berpaksi di atas jalan kebenaran ini.

Semoga saya dan kalian, akhwati akan terus dikuatkan Allah di medan perjuangan masing-masing. Terus dikuatkan Allah kerana Dialah sumber segala kekuatan. Allah dan syurga sebagai motivasi untuk terus beramal.


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.”

 (Surah At-Taubah:111)

Last but not least, saya dedikasikan nasyid ini buat kalian, para pejuang.

Menapaki langkah-langkah berduri,
Menyusuri rawa lembah dan hutan,
Berjalan di antara tebing curam,
Semua dilalui demi perjuangan.

Letih tubuh di dalam perjalanan,
Saat hujan dan badai merasuki badan,
Namun jiwa harus terus bertahan,
Karena perjalanan masih panjang.

Kami adalah tentera Allah,
Siap melangkah menuju ke medan juang,
Walau tertatih kaki ini berjalan,
Jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan.

Wahai tentera Allah bertahanlah,
Jangan menangis walau jasadmu terluka,
Sebelum engkau bergelar SYUHADA,
Tetaplah bertahan dan bersiap siagalah


No comments: