Pages

Monday, November 28, 2011

Ibarat Kereta Manual



“Awak ada lesen tak”

“Ada”

“Boleh bawa manual?”

“Erk…bawa time kat sekolah memandu je. Dapat lesen, dah tak pernah practise drive manual lagi kak”

“Haaa? Rugilah awak”

Terdiam. Mengakui kebenaran.

Pada asalnya, saya begitu bersemangat mengambil lesen walaupun tak pernah memegang streng kereta sebelum ini. Hanya dengan satu tujuan, mudah ke program. Dengan menggunakan elaun mara yang disimpan selama beberapa bulan, saya daftarkan diri untuk mengambil lesen kereta. Awalnya saya begitu teruja kerana lulus teori dengan markah pernuh 50/50 sehingga ada rakan yang baru dikenali menyindir saya,


“Awak datang ceramah hari apa”

“Ahad lepas”

“Haa? Pastu amek test hari rabu. Biar betol. Awak hafal buku tu macam nak periksa SPM ke?”


Saya hanya tersenyum. Apa yang penting, saya tidak perlu mengeluarkan not lima puluh ringgit untuk mengulangi test komputer.  Sejujurnya saya agak tergesa-gesa kerana saya perlu menghabiskan dalam masa dua bulan kerana ketika itu cuti semester. Jika saya terlewat, atau barangkali tidak melepasi apa-apa bahagian ujian maka saya perlu menangguhkan ke cuti semester yang hadapan. Belajar di Melaka tetapi lessen di ambil di Selangor. Agak mustahil untuk berulang-alik hanya semata-mata untuk repeat test.Tambahan pula, di sekolah memandu tersebut, waktu test JPJ adalah pada hari Selasa, waktu kelas.

Namun dalam kelas praktikal, jujur saya hancur. Untuk sedapkan hati, saya katakan pada diri saya, biasala first time bawa kereta. Nanti lama-lama biasala.

Kelas pertama, kelas kedua , kelas ketiga, kelas keempat dijalani seperti biasa. Namun tiada satu pun yang menunjukkan saya layak untuk menduduki test JPJ. Saya sering tersangkut di tiga penjuru walaupun bukit dan parking lepas. Bukan setakat langgar garisan putih tapi langgar divider sekali.  Setelah test pra-JPJ, saya mengambil keputusan untuk menambah kelas dengan bayaran RM60 untuk dua jam sehari sebelum test JPJ. Sekolah memandu menjanjikan tempat kosong namun sehari sebelum kelas bila saya ingin memastikan kembali, hampa sungguh jawapannya.


Dik, kereta semua dah penuh la. Awak pi je la test selasa nanti. Tak payah tambah kelas la


Jujur. Saya rasa sangat terkilan ketika itu. Pagi selasa, tanpa semangat saya hadirkan diri ke sekolah memandu. Saya tidak pasti entah apa yang akan berlaku, semuanya saya serahkan pada Yang Maha Menguasai. Saya tidak mampu untuk target saya akan lulus test JPJ yang pertama ini. Lulus dekat jalan raya pun jadilah.

Namun, segalanya Alhamdulillah. Dengan kuasa Allah,Dia berikan saya kelulusan untuk ujian litar dan jalan raya pada hari itu. Sedikit kelegaan di hati. Semuanya dengan izin Allah semata. Akhirnya tanpa diduga lesen berjaya diperoleh seminggu sebelum cuti semester tamat, seperti yang ditargetkan pada awalnya.

Pulang ke rumah, saya berfikir. Beginilah dakwah ini diibaratkan. Dakwah ini ibarat kita membawa kereta manual. Payah dan sukar. Nak tukar gear. Nak seimbangkan clash dan minyak ketika berhenti di bukit. Lebih payah dari kereta auto.

Lagi-lagi, bila kita sudah terbiasa membawa kereta auto dan meninggalkan manual. Bila dalam keadaan terdesak atau kecemasan yang mana ketika itu tidak ada kereta auto, nak tak nak kita terpaksa menggunakan manual. Terpaksa redah juga jalan raya , bukit bukau bersama kereta manual . dan kebiasaannya dalam keadaan-keadaan terdesak begini, kita selalunya dapat memandu kereta manual itu hingga ke destinasi kita. La hawla wala quwwata illa billah.



Akhawat fillah, dan seperti inilah dakwah kita diibaratkan.

Bila mana Allah mencampakkan kita ke sesuatu tempat dan di situ tiada sahabat-sahabat yang sering bersama-sama kita ke daurah atau program seperti dahulu. Hanya KITA. Sama ada mahu atau tidak, kita harus terus bergerak walaupun mungkin seorang diri. Ingat semula doa yang pernah kita minta dari Dia,


Ya Allah tempatkanlah aku di tempat yang benar-benar memerlukan aku


Nah, Allah hantar kita di sini. Di tempat yang benar-benar memerlukan kita.  Maka, berhentilah mengeluh dan terus menangis. Daripada kita terus menunggu sesuatu yang tidak pasti, menunggu ada sahabiah-sahabiah yang lain untuk ditempatkan bersama-sama kita baru kita nak menggerakan dakwah ini, maka lebih baik kita mula bergerak dahulu, Walaupun seorang.

Kuatkanlah tarbiyyah zatiyyah dalam diri. Terkadang bila kita seorang diri, kita lebih berdikari dan akal kita lebih cerdas dan kreatif dalam merangka program-program tarbawi dan juga program-program tarbiyyah untuk diri kita.

Teruslah bersemangat dengan hammasah yang tinggi dalam memperbaiki diri dan mengajak sahabat-sahabat yang lain ke destinasi yang sama. Mengumpul bilangan-bilangan perkerja-pekerja yang mahu mengorbankan jiwa dan diri mereka di jalan ini. Mungkin hari ini kita seorang, esok lusa siapa tahu bilangan itu mungkin bertambah. Allahumma amen.


Hanya satu,

Terus bergerak walaupun sedikit, daripada hanya terus menunggu.

Moga thabat, sahabiah sekalian.


Saturday, October 8, 2011

Ukhuwwah Teruji?



Baru-baru ini, saya diziarahi oleh beberapa orang akhawat. Alhamdulillah, walaupun hanya seketika namun banyak yang saya perolehi. Dari taaruf mereka dan dari pengalaman hidup mereka. Walaupun sudah hampir setahun setengah saya berada di sini, namun benarlah sesi taaruf tak akan pernah berhenti. Kita akan terus saling berkenalan dan mengenali.

Saya teringat pada perkongsian suatu malam oleh ukht yang sangat saya kagumi sewaktu di bangku sekolah dahulu,

“Kalaulah seorang pasangan suami isteri yang dah tujuh lapan tahun hidup bersama siang dan malam pun masing berada dalam sesi taaruf, maka apatah lagi kita yang baru berkenalan mungkin hanya sekitar tiga empat tahun. Kita akan sentiasa berada dalam proses taaruf, mengenali ukht-ukht kita”

Proses taaruf dan berkenalan, bukan hanya sekadar satu proses kita mengenali siapa ukht kita, siapa keluarga dia,atau bagaimana attitude dia. Bukan hanya cukup dengan kita tahu, oh ini kelebihan dia, oh dia tak suka kalau kita buat macam ni, oh dia ni pemarah… Bukan sekadar itu. Tetapi di dalam proses ini, kita belajar untuk menerima segala kekurangan dan kelebihan ukht-ukht kita.

Kita masing-masing punya kelebihan dan kelemahan. Ukht kita ada kelebihan dan kekurangan dia yang tersendiri, dan kita juga apa kurangnya. Punya kelebihan dan kekurangan bukan? Antara sedar dan tak sedar, bila kita nampak sesuatu kelebihan pada ukht kita, pantas sahaja kata-kata ini keluar dari bibir kita.


“Wah, hebatnya dia bercakap”

“Pandainya dia bawa usrah. Adik-adik semua thiqah kat dia”


Namun jika kelemahan yang kita lihat,  seringkali ini pula yang terjadi.


“Sejak ana tau perangai dia macam ni, susah ana nak thiqah dengan dia lepas ni”

“La, dia ni kuat emosi ke? Tak layak nak bawa adik-adik mad’u”

“ Isy dia ni asyik sakit je. Bukan ke mukmin yang kuat tu lebih disayangi Allah dari mukmin yang lemah?”


Saya masih ingat pada pesanan seorang mas’ul saya. Beliau berpesan pada kami agar sentiasa ingat pada apa yang HAB katakan tentang ukhuwwah. Setinggi-tinggi darjat ukhuwwah adalah ithar (melebihkan saudara kita lebih dari diri kita sendiri) dan serendah-rendah tingkatan ukhuwwah adalah bersangka baik.

Ukht yang dicintai,

Andaikan saja dalam sekecil-kecil perkara kita tidak mempu berlapang dada dan bersangka baik dengan ukht kita, maka adakah lagi ukhuwwah kita dan dia ketika itu. Sedangkan serendah-rendah tingkatan ukhuwwah adalah bersangka baik. Dan andaikan saja, jika serendah-rendah ukhuwwah saja tidak mampu untuk kita capai, layakkah kita mencapai setinggi-tinggi tingkatan ukhuwwah (ithar)? Maka di manakah ukhuwwah kita saat itu?

Bila sekali dia tak datang program, terus kita judge dia dengan pelbagai andaian. Sedangkan mungkin ketika itu dia menghadapi suatu urusan yang lebih berat dan sulit.

Bila orang lain sibuk melakukan kerja tetapi dia, batang hidung pun kita tak nampak. Maka kita terus buat assumption kita sendiri, dia ni pemalas, dia ni itula, dia ni inila.

Dan biasa kan, tanpa tabayyun (menyelidiki) terlebih dahulu, kita terus menghukum ukht kita. Kita menghukum dia dengan prasangka-prasangka kita dan lebih parah lagi apabila kita menghukum dia dengan iqab yang sangat-sangat berat tanpa kita bertanya kepada dia terlebih  dahulu.

Memberi ‘iqab kepada mereka yang tidak mampu menuruti arahan mas’ul itu tidak salah. Namun contohilah qudwah yang Rasulullah tunjukkan pada kita. Menyelidiki dahulu apa yang terjadi sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan.

Ya, dia mungkin bersalah. Dia bersalah kerana tidak datang liqa’ pada sekian-sekian masa. Dia bersalah kerana tidak menghantar kerja yang diberikan pada waktu yang ditetapkan. Namun tidak salah kan jika kita bertanya terlebih dahulu sebelum menghukum dia. Kenapa dia buat begini dan begitu. Sakitkah dia? Ada masalahkah? Atau ada urusan lainkah?



Saya masih ingat saat seorang ukht saya memegang erat bahu saya. Tanpa saya ketahui kenapa. Lalu dia membisikkan sesuatu kepada saya.

“Kalau enti ada nampak apa yang ana salah pada enti, bagitau ana ya. Jangan simpan sorang-sorang. Ana tak nak ada seorang pun akhwat keciciran di jalan ini hanya kerana masalah ukhuwwah”


Lantas pada suatu hari, seorang ukht datang kepada saya.


“Enti, maafkan ana kalau ana cakap benda ni. Ana tau tak patut ada perasaan-perasaan macam ni pada diri seorang akhwat. Tapi ana tak sanggup nak simpan. Ana tak nak terus berburuk sangka dengan enti. Mungkin ana yang tersalah anggapan pada enti”

“Ya Allah ukht, kenapa ni? Tak pe cakap je, mana yang ana tersalah?”

“Ana terasa dengan kata-kata enti minggu lepas dahulu”

“MasyaAllah, kata-kata ana yang mana? Maafkan ana”

“Masa kita baru balik dari library ke kelas prep”

Kelu. Berfikir seketika.
“MasyaAllah. Maafkan ana ukht. Ana maksudkan lain sebenarnya”

“Tak pe. Ana faham. Sebab tu ana nak cakap apa yang terbuku di hati ana ni pada enti. Supaya ada penjelasan dari pihak enti dan ana tak terus berprasangka yang bukan-bukan. Ana tau enti tak bermaksud macam tu. Maafkan ana juga ukht”

Bukan selalu dapat dari hati ke hati begini. Ada orang lebih suka pendam dan simpan sendiri. Namun di jalan tarbiyyah, saya rasa amat pentingnya sorohah.  Sorohah dan berterus terang. Agar tiada prasangka antara kita. Agar segala kesalahan fahaman yang berlaku, ada penjelasan dari ukht kita. Allah, indahnya jika setiap hari kita begini. Saling membetulkan. Saling menguatkan. Saling mendokong.

Ukhuwwah itu bukan hanya sekadar kita memberi hadiah ketika hari lahirnya. Atau juga bukan sekadar kita menemaninya menjalani rutin harian hidup. Namun ukhuwwah itu sendiri menuntut sebuah pengorbanan dan kesetiaan.

Mungkin kita sudah cukup berkorban harta namun bagaimana pula dengan hati kita? Sudah cukup lapang dadakah kita?

Kesetiaan kita pula bagaimana? Kesetiaan pada doa-doa rabithah yang sering kita ucapkan. Atau dengan kata-kata manis yang sentiasa meniti di bibir.


“Ana sayang enti kerana Allah”

“Kalau enti nampak ana tersalah arah, bantu ana untuk temukan balik jalan pulang”


Dan saat kita mempunyai masalah dengan ukht-ukht kita, maka saat itulah ukhuwwah kita diuji. Kita diuji dengan apa yang kita perkatakan. Kita diuji dengan apa yang kita pinta pada Allah.



Jika ada orang mengibaratkan ukhuwwah itu seperti fair and lovely, tiap hari sayang.

Atau barangkali juga ukhuwwah itu diibaratkan seperti untaian tasbih. Ada awal tiada penghujung.

Maka, bagi saya ukhuwwah itu ibarat seperti apa yang Rasullullah sabdakan pada kita;


"Orang Mukmin di samping Mukmin yang lain ibarat sebuah binaan, saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain"

Sabda baginda lagi ;

"Perbandingan orang Mukmin dengan Mukmin yang lain ibarat tubuh yang satu, apabila satu anggotanya sakit seluruh anggota turut demam dan berjaga malam".

Cukuplah kisah persaudaraan Ansar dan Muhajirin menjadi contoh yang terbaik kepada kita dalam menjalani kehidupan ini bersama-sama ukht kita. Sehingga kisah mereka disebut-sebut oleh Allah di dalam Al-Quran. 

“Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri Madinah serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan ingatlah, sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
[Al-Hasyr,9]


Saya yakin ukht sedia tahu tentang apa yang Ansar korbankan pada Muhajirin sehingga darjat mereka diangkat begitu tinggi oleh Allah. Bermula dari saat Muhajirin tiba dari hijrah ke Madinah, kaum Ansar menyambut  dan berebut-rebut untuk memberikan tempat tinggal kepada kaum Muhajirin. Bukan sekadar tempat tinggal, malah kebun-kebun mereka dan isteri-isteri mereka.

Sehingga ada sebuah kisah yang saya baca, ketika kaum Ansar apabila memungut hasil kebun kurma, mereka membahagikan hasil pungutan itu kepada dua bahagian. Salah satu bahagian lebih banyak dari bahagian yang satu lagi. Kaum Ansar pun meletakkan pelepah-pelepah kurma di bahagian bawahnya sehingga bahagian yang sedikit itu nampak lebih banyak daripada bahagian yang banyak tadi. Mereka pun memberi bahagian yang kelihatan sedikit tetapi pada hakikatnya inilah yang lebih banyak kepada saudara mereka, kaum Muhajirin, dan mereka mengambil bahagian yang mengandungi pelepah kurma itu.

Hebat bukan ukhuwwah yang kaum ansar dan muhajirin miliki. Kaum Ansar melebihkan kaum muhajirin dalam segala hal. Kaum ansar mungkin sudah mencapai tingkatan ukhuwwah yang tinggi iaitu ithar.Kita pula bagaimana? Mampukah kita mencapai tingkatan ukhuwwah yang tertinggi apabila tingkatan yang terendah pun kita masih lagi bermain-main dengan perasaan dan prasangka-prasangka sendiri.

Jangan lihat kiri atau kanan. Jawapannya ada di dalam diri kita sendiri. Sejauh mana kehebatan ukhuwwah yang kita miliki? Adakah lebih banyak menerima daripada memberi atau sebaliknya? Tepuk dada dan tanyalah pada iman kita. Semoga kita-kita sama dikurniakan sahabat yang dapat menemani perjalanan ini hingga ke syurga (moga kita juga cuba untuk menjadi sahabat seperti itu).



Friday, September 2, 2011

HADIR DI SINI



**pengabaian terhadap pembacaan entri kali ini amat dialu-alukan**


Secara sedar tak sedar, sekarang dah bulan 9 rupanya.

Mungkin bulan 9 akan terus menjadi kenangan dalam hidup saya.Teringat setahun yang lepas, tawaran ke Al-Azhar dalam jurusan Ulum Islamiyyah terpaksa dilepaskan.  

Setiap kali menghantar sahabat-sahabat saya ke Mesir mahupun Jordan dari jauh, hati ini pasti bagai ditoreh-toreh rasanya . Menggamit rindu akan mesir. Bagai tercium aroma mesir dan ulum islamiyyahnya di sekeliling. Jika tak berpeluang di sana pun, dapat ambil jurusan tu di Malaysia pun itu sudah lebih dari cukup. Namun, rezeki saya telah ditetapkan Allah di tempat yang lain.


Kerap juga akhawat menasihati saya,


“Kalau semua orang nak ambil syariah, siapa yang nak ambil sains?”


Akhirnya, saya bagaikan trauma pula setiap kali September tiba.  Namun setiap kali itulah saya kerap menasihati dan memujuk diri sendiri.  


Dari STAM, Al-Azhar, UITM, sehinggalah Allah menakdirkan saya menjejakkan kaki di sini. Di tanah rahmat yang Allah beri saya kesempatan untuk menghirup secangkir ilmunya. Teringat pesan murabbi saya dahulu,

“Belajar sains ni sepatutnya lebih mendekatkan diri kita pada Allah”


Benar.

Mungkin kadang-kadang kita lupa. Segala ilmu yang kita belajar, kirchoffs law, Norton law merupakan Allah laws. Hukum Allah.


Akhirnya, subjek electrical hari ini memberi saya suatu peringatan dengan sendirinya.


Ada hikmah Allah meletakkan saya di sini, mempelajari ilmu kejuruteraan. Saya akui, saya bukanlah seorang yang hebat dalam sains.  Tapi saya yakin dan percaya, semua yang terjadi pasti punya hikmah yang tersendiri. Mungkin pahit ditelan di sisi kita, namun di sisi Allah semuanya adalah kemanisan.

Mungkin banyak hal yang kita suka, bukan milik kita. Banyak hal yang kita tak suka, selalu pula bertandang di tepi kita. Boleh jadi sesuatu yang kita sangka baik itu adalah kurang baik bagi kita dan boleh jadi sesuatu yang kita sangka buruk adalah sesuatu yang baik untuk kita.

Jalan terbaik adalah REDHA. bila kita dah tawakkal dan sudah mengikhlaskan hati sepenuhnya, pasti kurang rasa kecewa kerana yakin Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik ! Segala yang terjadi, tak akan pernah tersalah dari aturan takdir Dia.Hanya saja, kita perlu merungkai dan mencari hikmah yang terselindung di atas setiap yang berlaku.

Dan saya juga sedar. Belajar memang bukan mudah, jurusan apa pun ! Medic, akaun, banking, syariah ! Semuanya punya halangan yang tersendiri. Tapi ingatlah Allah tak pernah meminta kita untuk menjadi yang terbaik tapi hanya perlu melakukan yang terbaik. Selebihnya, natijah tu urusan Allah. Dia yang akan menguruskan supaya apa yang terbaik tu menjadi milik manusia. Yang penting syaratnya, USAHA kemudian DOA dan TAWAKKAL.


*belajar demi mencapai redha Allah.kejayaan yang diraih pasti mempunyai nilai tambah dalam dakwah dan tarbiyyah itu sendiri.semoga keberadaan kita dalam bidang masing-masing akan membantu fasa pembangkitan Islam. Selamat menghadapi TEST .Semoga result kita tak menjadi fitnah pada dakwah ini. Maan najah****mood sedih Instrument tak dapat jawab.Mohon doakan yang terbaik.


dan


hadirnya aku di tanah ini juga adalah satu amanah.


****selamat meneruskan perjuangan****


my sis, Kuliyyah Usuluddin, UIA Gombak
ukht Zahra' Zainurrashid, Kuliyyah Usuluddin, Yarmouk University ,Jordan


Kutip sebanyak-banyak mutiara , kelak berbakti pula di tanah air tercinta.

Saturday, August 6, 2011

Mahukan Syurga?


Kuala Terengganu, 2011


Saya teringat pada satu program yang saya hadiri tiga tahun yang lepas. *Rindu*


“Siapa nak masuk syurga?”
Penceramah bertanya, menyegarkan mata kami yang sememangnya sudah layu lewat jam 12 malam hari itu.
Semua angkat tangan. SYURGA. Siapa yang tak mahu.


“Siapa yang nak mati”
Keadaan tak semeriah tadi. Erk. MATI ?


“Antum ni macam mana? Kata nak masuk syurga tapi tak nak mati. Kalau nak masuk syurga mestila kena mati dulu. Boleh ke antum nak terbang pergi syurga tanpa melalui proses kematian?”

Dewan kembali meriah dengan gelak tawa peserta. Penceramah berjaya mencuit hati kami.


“Jadi sekarang, nak mati tak?”
Mahu, sebab nak tiba ke syurga.


Bila cerita tentang syurga, siapa yang tak suka? Dari mengantuk yang teramat, terus jadi segar. Dari lapar terasa kenyang. Dari hiba terus ketawa. Dari sesak terasa lapang.

Sungguhpun perjalanan ke sana perlu menghadapi satu lagi perjalanan, iaitu ; KEMATIAN. Namun bila bicara soal syurga, semuanya bagai berada dalam kebahagiaan. Walaupun tahu diri masih belum bersedia untuk itu, namun segala amal yang sedikit terasa mahu ditingkatkan.


Tentang syurga, semuanya indah.

Semuanya membahagiakan.

Semuanya menyeronokkan.

Semuanya menggembirakan


Namun seperti kata orang,
Jangan bermimpi di siang hari.


Kata mahu syurga,
Tapi masih keenakan mencicip daging saudara sendiri.

 Kata mahu syurga,
Tapi masih tenggelam timbul dengan perasaan sendiri

Kata mahu syurga,
Tapi masih terlena hingga kesiangan.


Amal fardhinya entah ke mana ; jadi bagaimana nak raih redha Allah untuk melayakkan kita ke syurga?


Syurga itu bukan hanya boleh dicapai dengan ungkapan kata-kata

'AKU MAHU MASUK SYURGA'


Tetapi hati dan amal itulah yang akan menjadi hitungan.


Kalau benar mahukan syurga, maka beramallah dengan amalan ahli syurga itu.




Wallahu ‘alam.


6 Ogos : Sanah helwa utk kakak sy. Semoga hebat dunia dan akhirat. 


Monday, July 18, 2011

Ramadhan : It Comes

Salam.




I pray that Allah gives His blessing and guidance to all of us in our journey in wonderful Islam, dakwah and our tarbiyyah forever.


A few days ago, I had opened the radio in my hand phone (alhamdulillah i've bought a new one after the old has damaged) and I found one programme that have aired. Oh, I’ve not heard the radio for quite a long time. And of course, the radio was IKIM.fm.


Subhanallah, I don’t remember the title of that programme but what I’ve heard, it was about Ramadhan. About our preparation.


In that programme , what makes me very touched is during question and answer session. One caller said that she was a very grumpy. She is always being mad with others and at last, she asked to the speaker how to reduce her anger as a preparation for Ramadhan. 


The speaker politely answered, maybe it was so hard to reduce our bad attitude. But it not impossible right ? At least we have a trying , Allah will help us with His blessing. As an example; if we often make a fifteen times a day to angry, so try to just be mad ten times start from today and reduce our anger to seven times for tomorrow. It doesn’t mean we have to plan how many times we have to be mad in a day but it’s just an example how we can reduce our anger from now and the days after.


Subhanallah, this is one shared from someone that really wants to improve herself in this Ramadhan. How about us?  Have we prepared ? Maybe we can’t get rid of our bad attitude quickly. But… Rest assured that Allah not asks us to be a best but we just have trying to do the  best ! Ramadhan will come to us (in the willing), and it’s so sooner.

The Prophet Muhammad, peace be upon him, had teach us to make du’aa “ Allahumma Bariklana fi Rajab Wa Syaa’ban, wa ballighna ila Ramadhan”. Oh Allah make blessed for us the month of Rejab and Syaaban and let us reach the month of Ramadhan.

May Allah give all of us the strength and His blessing during next coming Ramadhan. Amin.

And  here,  i want to shere something.


Thursday, July 7, 2011

Ini Masih Elok



Aku dan Ikhwanul Muslimin – Prof Dr. Yusuf Al-Qardawi

Alhamdulillah dua buah buku ini sudah selesai dibaca. Dalam masa tak kurang empat bulan, lebih beratus juga habis untuk beberapa buah buku. Itu baru berjalan di sekitar kedai buku Melaka. Jika berpeluang untuk menjejakkan kaki ke pesta buku di KL atau PKNS Shah Alam, pasti kering rasanya duit dalam poket.

“Setiap apa yang kita beli, kita akan disoal di akhirat kelak”

Allah. Teguran seorang ukht yang mebuatkan diri saya benar-benar merasa terpukul. Tertembak tepat menusuk ke jantung hati.

Saya melihat almari buku yang penuh. Berapa buah sahaja yang dibaca sehingga selesai? Agaknya yang selebihnya itu hanya diselak sehelai dua muka, kemudian terus disimpan dan menjadi bahan pameran.

Saya berfikir kembali. Dan cerita ini tidak sekadar terhenti pada buku.

Cuba kita lihat sekeliling kita. Berapa pasang kasut yang kita ada? Berapa helai baju baru yang kita tempah dalam setahun?

Oh, ini bukan sesi menghitung kuantiti sesuatu barang yang kita ada.




Tapi. Pernah tak kita terfikir? Kadang-kadang kasut lama yang baru sahaja dibeli tahun lepas masih elok dan boleh digunakan lagi, tapi kita dah tak sabar-sabar utuk membeli kasut yang baru. Akhirnya, boleh jadi kita mempunyai sehingga tujuh lapan pasang kasut yang semuanya jarang-jarang disarungkan ke kaki.

Lihat pula baju dalam almari kita. Berapa helai baju yang kita tempah dalam setahun? Nak ke kenduri kahwin, baju baru. Reunion, baju baru.  Masuk U, baju baru. Itu belum termasuk lagi sepasang dua baju raya yang memang wajib dibeli setiap kali hari raya. Jadi, kalau dihitung-hitung berapa helai baju baru dalam setahun? Kalau dicampur dengan baju-baju tahun lepas yang masih boleh digunakan, jadi berapa jumlahnya? Saya percaya, ramai di antara kita kadang-kadang hingga tak muat almari untuk menampung baju. Akhirnya baju-baju lama yang masih elok dan cantik dibuat kain buruk. 



Bila kita dengar ada keluaran handphone terbaru pula, maka kita juga turut sama ikut keluar membeli. Handphone lama yang mungkin tak sampai setahun diguna, masih cantik, masih berfugsi terus dijual tanpa berfikir panjang. Kemudian, duit dalam poket terus dikeluarkan untuk mendapatkan handphone yang terbaru. Sedangkan fungsi utama setiap handphone sama sahaja, dan wujud pada setiap handphone yang dikeluarkan di muka bumi ini.

Percaya atau tidak. Sama ada sedar atau di awangan. Inilah hakikatnya. Kita dengan mudah selalu membeli barang-barang yang baru. Sedangkan yang lama masih baik.



“Eh xapalah. Saya mampu apa nak beli barang-barang baru,”


Oh, ini bukan soal mampu atau tidak. Kalau dibeli tapi hanya digunakan sekali dua, bukankah itu membazir?  Ingatlah, di akhirat kelak kita pasti akan ditanya. Wang kita, ke mana dihabiskan. Berapa ramai di kalangan mahasiswa hari ini yang memberi alasan tidak mampu membeli buku teks berharga tak lebih seratus ringgit tetapi mampu untuk membeli henset-henset berjenama yang mencecah seribu ringgit.

Jika berkemampuan (mampu ini membawa banyak maksud), pakailah yang sedia ada dahulu. Tidak salah rasanya kalau kita gunakan barang-barang lama yang masih elok dan baik lagi. Nanti rosak, segeralah gantikannya. Ataupun jika takut tak berkesempatan membeli yang baru, belilah satu sebagai spare. Satu sudah memadai, tidak perlu hingga empat atau lima.


Semoga Allah terus memberikan kita kekuatan untuk mujahadah dan qanaah.

p/s :
  1. Saya seperti ada promote dua buah buku di atas sekali. Bacalah, memang menarik !
  2. Dalam buku Aku dan Ikhwanul Muslimin karya Prof. Dr. Yusuf Qardawi, ada yang saya kurang faham tentang Nizam Khas. Ada sesiapa yang boleh bantu saya untuk fahamkan tentang itu?


Allahu A’lam.

Saturday, June 11, 2011

Baitul Muslim : Benarkah Bersedia?


Sejak saya melangkah ke alam yang semakin dewasa (alam universiti ) baru saya tersedar  isu-isu baitul muslim semakin hangat diperbincangkan. Seorang kawan saya pernah melontarkan pandangannya pada saya,


“Biasanya kan golongan ustaz ustazah ni kahwin awal. Belum habis belajar dah gatal nak kahwin” katanya.

“Oh ya?,”  saya cuba menunjukkan minat sebaik mungkin.

“Yela, kawan saya sebelah rumah tu baru 19 tahun dah kahwin,” terangnya lagi.

“Kenapa macam tu ya?”tanya seorang kawan saya yang lain.

“Alah, memang macam tu. Orang-orang agama memang gatal nak kahwin awal. Kononnya nak tahan nafsu. Ha, awak jangan jadi macam tu ya. Tunggu habis belajar ya,”sempat dia memberikan nasihat kepada saya.


Itu satu cerita. Namun masih ada cerita lain.




# Kisah 2 #


“Tau tak tadi ketua kita tanya kat akak, sekarang ni tengah musim kahwin ke?”luah seorang kakak yang sangat akrab dengan saya.

“Ha? Kenapa pula?” saya memang tidak mengerti.

“Yela sekarang ni banyak status kat fb pasal Baitul Muslim”

“erm” saya tidak tahu menjawab apa.

“Even orang-orang yang kita thiqah pun tulis status jiwang-jiwang kat fb” tambahnya lagi.

Saya teringat. Memang benar. Sudah lama saya tak dapat online kerana masalah internet. Sesekali berpeluang untuk log masuk ke fb, saya terperanjat membaca status-status yang ada. Sehingga ada yang menulis ‘wahai lelaki tolong jangan jadikan diri kami fitnah kepada kalian.Kalau benar kalian menginginkan yang halal dan jika benar kami tercipta untuk kalian maka suntinglah kami dengan cara benar’. Saya terdiam membaca status tersebut. Terasa terbalik pula ayat itu ditujukan.

Kadang-kadang kita merayu kepada lelaki agar diri kita tidak menjadi fitnah kepada mereka tetapi sebaliknya tindak tanduk kaum hawa itu sendiri yang menjadikan diri mereka fitnah kepada kaum adam. Tersipu-sipu memberi salam, memanggil-memanggil si lelaki dengan panggilan yang lunak dan panjang. Bukankah mereka sendiri yang mencampakkan diri mereka ke dalam fitnah?


Itu baru satu kisah dari status fb, di dunia realiti pula bagaimana?


# Kisah 3 #


"Uyyo, diorang ni macam mama dengan papa la. Sepadan betul "


"Ha'ah la. Macam Baitul Muslim"


"Betul-betul. Boleh dirikan Baitul Muslim da"


"Kalau macam tu bukan mama papa tapi Umi dengan Abi"


Ini juga baru satu kisah. Kisah sakat menyakat. Gurau senda dalam kehidupan juga tak lari dari persoalan perkahwinan.


# Kisah 4 #


"Abang tutttttttttttt tu solehla. Tu saya punya"


"Apa ni, tu saya punya. Awak amekla abang tutttttttttttt ni. Dia pun soleh gak,"


Ini kisah gurauan lagi. Namun gurauan pun, jika dibiasakan buat pasti akan meninggalkan kesan di dalam hati. 


Dan kisah-kisah di atas hanya dua tiga buah kisah yang berlaku. Sebenarnya banyak lagi kisah yang tak mampu untuk saya ceritakan di sini. Ataupun, kalau ingin lebih mudah buka terus wall facebook. Pasti ada banyak status-status tentang ini walaupun status tersebut nampak seperti soleh adakalanya juga nampak seperti doa.


Salahkah menulis di facebook?


Salahkah walaupun hanya sekadar bergurau?


Saya tidak katakan salah. Memang tidak salah sekalipun kita hanya berimpian ke arah itu. Semua lelaki pasti menginginkan zaujah yang solehah dan semua perempuan mengimpikan zauj yang soleh. Lebih dari itu, kedua-duanya pasti menginginkan zuriat keturunan yang soleh dan musleh.


Namun, harus diingat. Impian dan angan-angan itu berbeza. Jadi, kalau sampai setiap hari sebelum tidur dah terbayangkan bagaimana nanti bila ada suami dan anak-anak, fikir-fikirkanlah. Mungkin kita bukan lagi berimpian tapi berangan-angan.  


Begitu juga jika nak bergurau, rasa nak bergurau tentang isu kahwin sahaja seperti tak ada isu lain lagi yang boleh diguraukan. Tidak salah untuk bergurau tetapi jika berlebih-lebihan boleh membawa masalah pada hati. Seperti yang saya katakan sebelum ini, walaupun niat kita hanya bergurau tetapi gurauan itu pasti mendatangkan kesan sedikit-sebanyak kepada hati. Kalau tidak pada hati anda, mungkin pada hati orang yang anda jadikan bahan gurauan.


Bagaimana kalau dia mengambil serius apa yang kita guraukan? Kita bergurau-gurau dengan dia bahawa dia sepadan dengan B sebab si B dan dia ni sama-sama hebat dalam dakwah. Boleh jadi dia akan asyik teringat-ingatkan si B dan jatuh suka pula walaupun sebelum ni tak suka sebab si B ni sekian sekian. Ingat, kalau itu terjadi kita juga mendapat sahamnya. Mendapat saham kerana akhirnya si dia yang kita jadikan bahan gurauan ni akhirnya susah nak letakkan Allah sepenuhnya dalam hati. Malah mungkin ketika belajar pun teringat-ingatkan si B. Jangan lupa bahawa, jahiliyyah dan cahaya Allah takkan bergabung. Jadi jika hati dah dinodai, mungkinkah kita mampu meletakkan Allah sepenuhnya dalam hati lagi?


Sama jugalah kisahnya dengan menulis status di facebook. Kalau sehingga ke tahap tu, telah jelas sekali fikiran kita dah dipenuhi dengan masalah cinta dan perkahwinan. Kerana apa? Sebab dalam banyak-banyak perkara, tentang 'itu' juga yang terlintas di fikiran kita untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan.


Dan sebenarnya bila kita asyik melaung-laungkan kalimah 'Baitul Muslim', boleh jadi kita tak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut.Tidak faham, tidak tahu atau mungkin terlupa bahawa sebenarnya pembinaan baitul muslim tidak akan terbentuk tanpa pembinaan individu muslim.

Dan bagaimana pula dengan pembinaan individu muslim kita? Dah terbentuk?


Amal fardhi kita macam mana? Solat kita?

Muwasafat tarbiyyah pula?

Dari segi academic standing?

Hubungan dengan Allah pula bagaimana?

Dan bagaimana pula hubungan dengan manusia. Masih mengumpat? Masih mengucapkan kata-kata lagho(sia-sia) dan kesat?

Bagaimana nak dirikan baitul muslim dan mendidik anak-anak nanti kalau perkara-perkara kat atas ni pun belum settle. Bayangkan jika seorang ibu atau bapa yang masih mengucapkan perkataan-perkatan lagho dan kesat, bagaimana mungkin dia mampu mendidik anaknya untuk tidak melakukan hal yang sama.


Baitul muslim lahir dari pembinaan individu muslim.


Kalau kita benar-benar faham makna pembinaan baitul muslim kita juga pasti faham erti pembinaan individu muslim juga bukan? Namun sayang, hari ini lebih ramai yang memperkatakan soal pembinaan baitul muslim berbanding pembinaan individu muslim sedangkan pembinaan individu muslim itulah yang perlu dibentuk dahulu.


Saya berikan satu analogi yang sangat mudah. Baitul muslim ni ibarat kita menaiki anak-anak tangga sebelum sampai ke tingkat atas. Dan sebelum memijak anak tangga baitul muslim, kita perlu memijak dahulu anak tangga individu muslim. Selepas itu barulah kita boleh jejakkan kaki kita ke baitul muslim dan anak-anak tangga seterusnya sehinggalah ke matlamat kita yang paling besar, ustaziatul alam.

Ajal, maut, jodoh pertemuan semuanya sudah ada dalam ketetapan Allah. Tetapi manusia lebih merisaukan tentang jodoh pertemuan yang tak kunjung datang sedangkan kematian sudah sentiasa menunggu-nunggu di hadapan.  Boleh jadi kematian itu datang lebih dahulu dari jodoh yang sering kita risaukan. Naudzubillahiminzalik andainya kita datang di hadapan Allah tanpa sempat membuat apa-apa persiapan dan bekalan.


" وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ "



“Dan perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik “ [24 : 26]


Itu janji Allah. Yakinlah. Memang ramai orang disekeliling kita telah membina baitul muslim lebih awal. Tapi satu benda yang perlu kita perhatikan. Mungkin mereka telah lebih bersedia sebelum kita. Dari segi amal fardhi, tiada lagi ucapan-ucapan lagho, tiada berangan-angan hingga meluahkan perkara tidak sepatutnya di facebook dan banyak lagi. Jadi jika kita belum bersedia dengan perkara-perkara tersebut, siapkanlah diri dengan pembinaan diri dahulu. Pembinaan individu muslim. Itu yang lebih utama.


 Ayuh kita ke agenda yang lebih besar. Yang lebih utama.  Semoga Allah meredhai.


p/s: Dialog-dialog di atas adalah situasi sebenar yang diedit ucapannya demi menjaga hati semua pihak. Mohon maaf atas sebarang khilaf yang tidak disengajakan. Segala kritikan atau teguran amat dialu-alukan.


Friday, May 27, 2011

meraih cinta


"Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya"

Nikmatnya ! Seandainya setiap saat aku mampu berada dalam dakapan cinta Dia. Namun menghadirkan rasa cinta itu tidak semudah menuturkannya.

Kerana terkadang cinta yang kuberi kepada manusia itu melebihi cinta yang sepatutnya aku dambakan kepada Pemilik Cinta.

Bila cinta yang aku berikan kepada keluarga dan orang yang paling akrab denganku tidak mampu untuk membuatkan aku sanggup mengorbankan mereka demi cinta aku kepada Al-Khaliq

Bila cinta dan kasih aku kepada sahabat yang kononnya didasarkan ukhuwwah fillah tidak mampu menghindarkan aku dari maksiat.


Bila sayang aku akan sepotong dunia tidak mampu untuk membuat aku berkongsi akannya bersama yang lain.

Ah, andaikan saja jika aku bisa seperti Saad bin Abi Waqqas. Mengutamakan Sang Pencipta melebihi keluarga. Perit tapi itulah harga yang perlu dibayar demi meraih redhaNya semata.

Apalah erti cinta dan kasih pada sahabat . Jika umpatan, kata-kata kesat, gosip, dan fitnah masih terus meniti di bibir.

Jika sesaat pertemuan tidak mampu menghadirkan walau sebiji zarah keimanan.

Jika dalam perbualan-perbualan tidak pernah hadir walau sekelumit ayat mengingati Dia.

Masih adakah cinta aku pada Dia bila hatiku masih terpaut akan harta dunia. Bila mana harta yang paling aku sayangi tidak sanggup aku korbankan.

Sungguh berat untuk mengorbankan barang-barang yang paling dicintai. Andai saja aku bisa seperti Saidina Uthman bin Affan. Menggadaikan harta demi ummah dan jalan yang dicintai ini.

"Ya Allah, andai kau hadirkan aku kecintaan pada perkara-perkara yang Kau miliki, maka jadikanlah ia hanya sebagai wasilah (jambatan) untuk aku memiliki cintaMu"

Sungguh, untuk meraih cinta dari Pemberi Cinta itu perlukan mujahadah yang sangat tinggi. Ya Allah, thabatkanlah kami.

Wednesday, May 25, 2011

Mahalnya harga sebuah pengalaman





Sesekali berpeluang untuk berbual dengan sahabat-sahabat lama yang telah terbang jauh keluar dari sempadan tanah air tercinta, membuatkan saya banyak berkongsi pengalaman bersama mereka. Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan maka banyaklah pengalaman. Jauh di sudut hati saya, pasti pengalaman di negeri orang telah mendewasakan mereka menjadi seorang akhawat yang kental dan serius. Saya di sini, mungkin masih lagi bermain-main.

Walaupun daerah saya sekarang hanya disempadani oleh sebuah negeri, masih ada pengalaman berharga yang perlu saya kutip dan pelajari di sini. Saya tidak pergi jauh. Menimba ilmu di negeri tempat saya membesar dahulu. Namun sejauh mana pun perjalanan kita, ataupun barangkali kolej hanya berada di depan rumah kita, saya tetap yakin ini. Pasti ada pengalaman yang telah kita peroleh. Pasti ada perkara yang telah kita pelajari.Alam IPT berbeza dengan alam sekolah menengah, inilah antara kata-kata yang sering senior saya ingatkan. Begitu juga dengan alam pekerjaan yang jauh lebih mencabar.

Satu tahun saya di sini. Saya cuba belajar untuk menangis, ketawa, tersenyum dan entah apa lagi perasaan  yang ada. Di sekolah dahulu mungkin saya berada di zon yang selesa. Namun di sini, segalanya perlu berdiri di atas kaki sendiri.

Tapi ALHAMDULILLAH…Allah temukan saya dengan sahabat-sahabat yang juga punya satu keinginan yang sama. Matlamat yang sama. أصلح نفسك وادع غيرك. Yang ingin perbaiki diri dan sama-sama mengajak orang lain kepada kebaikan. Sebab di mana pun kita berada kita perlu mencari dokongan dan jangan sekali-kali mengasingkan diri kita dari sahabat-sahabat yang soleh.

Namun ujian kesenangan itu tidak akan selalunya lama.


" لا يكلف الله نفساً إلا وسعها "

 Apakah kamu mengira kamu telah beriman sedangkan kamu tidak diuji. [ 2 : 286 ]




Dalam kita seronok buat amal fardi dan amal dakwah pasti ada mehnah yang melanda. Kadang-kadang semangat kita untuk terus berjuang ni tinggi sangat. HIMMAH ALIYYAH. Kadang-kadang juga semangat yang tinggi tu jatuh sedikit demi sedikit.

Jatuh bilamana kita rasa dah tak ade support kat sekeliling kita.
Jatuh bila banyak mulut mempertikaikan apa yang kita lakukan.

Sememangnya kita juga manusia. Yang namanya manusia itu, tidak akan selalunya berada dalam semangat yang tinggi.

Pernah tak kita rasa kawan rapat kita sendiri pun tak suka kita buat amal dakwah ni. Kita dilabelkan sebagai remaja kolot kalau tak tengok wayang dan tak bergosip dengan lelaki. Atau mungkin pergi ke program-program ilmiah tu satu perkara yang membuang masa. Lebih baik study. Kita kan student. Matlamat utama, belajar dan banggakan mak ayah.

Pernah tak orang pertikaikan penampilan kita? “Kenapa nak pakai labuh-labuh? Tudung nak labuh, t-shirt nak labuh. Kan pakai macam ni pun da tutup aurat even tak labuh sampai lutut pun.Lecehlah” :D

Atau pun yang paling kerap berlaku. Orang surau ni bukannya baik sangat pun. Even tudung labuh alim-alim kucing pun still buat benda tak baik.

Pernah alami situasi-situasi tersebut? Mungkin kadang-kadang kita kuat nak hadapi benda-benda macam ni. Mulut orang, kita tak mampu untuk tutup. Tapi tak mustahil kadang-kadang kita lemah tak berdaya. Mungkin sometimes, kita akan menangis sampai teresak-esak bila dah tak mampu nak adapt lagi dengan situasi-situasi macam ni. Lebih teruk lagi kalau kita sampai rasa nak keluar dari medan perjuangan ni.

Sebenarnya inilah pengalaman. Atau lebih tepat ujian ini sebenarnya guru yang mengajar kita. Mengajar kita bagaimana untuk stabilkan emosi. Macam mana nak jadi kuat. Bagaimana nak muayyashah dengan masyarakat sekeliling kita. Tapi bagi saya, kalaulah kita berpeluang mendapatkan pengalaman-pengalaman macam ni sebenarnya benda first yang kita akan belajar ialah siapa dahulu patut kita luahkan segala perasaan sedih ini. ALLAH atau SAHABAT SEFIKRAH. Tak salah untuk meluahkan pada seorang manusia tetapi jadikanlah Allah dahulu sebagai tempat kita mengadu.

Pengalaman-pengalaman ni mahal harganya. Lagi kita rasa perit, lagi mahal harga sebuah pengalaman tu. Bukan senang nak dapatkan dari tempat lain. Kalau kita sentiasa dikelilingi biah solehah dan kawan-kawan yang semuanya memahami islam secara majoritinya, jadi bila masanya lagi kita nak rasa pengalaman-pengalaman berharga ini bukan? Dan bila masanya lagi kita nak belajar untuk jadi kuat? Dan entah bila pula kita akan belajar menjadikan Allah sebagai sebaik-baik tempat untuk kita serahkan segalanya.

Jadi…kuatlah! Be tough. Belajarlah untuk muayyashah dengan masyarakat sekeliling kita. Dan apa yang paling penting, belajarlah untuk mengenal diri sendiri. Sejauh mana kekuatan dan kelemahan kita. *Akan kuatkah kaki yang melangkah bila disapa duri yang menanti?*

Allah sayangkan kita dan sebab tu Dia beri kita pengalaman berharga ni.
Juga kerana

" ليبلوكم أيكم أحسن عملا "
Untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. [ 67 : 2 ]

Dan ingatlah, kasih sayang Allah melebihi segala apa yang ada di dalam dunia dan isinya.

Biarpun pahit namun cubalah untuk mempelajari sesuatu dari pengalaman yang kita peroleh. Pengalaman itu, sungguh mahal harganya. Pada masa lain dan di tempat yang lain belum pasti kita boleh mendapatkan pengalaman yang serupa ini. Jadi, hargailah ia.