Pages

Saturday, February 4, 2012

hadiah & anugerah




Emak dan ayah adalah perkara yang paling dihargai dalam diri setiap anak-anak. Setuju dengan saya?

Jika tidak ;

Tiadalah kebanyakan program-program motivasi yang ada akan menyelitkan tentang ibu dan ayah dalam ceramah-ceramah mereka.

Anak-anak juga  tidak kurang emosinya , maksud saya, kita pasti akan menangis bila disentuh soal emak dan ayah walaupun ada yang mengatakan tangisan itu cuma insaf sebentar. Lepas keluar dari program motivasi, hanya insaf  sebentar untuk sehari dua kemudian kembali ke tabiat lama.

Saya pernah berjumpa dengan sekumpulan manusia. Saya pernah mendengar keluhan hati mereka.  Saya pernah membaca di dada akhbar. Saya pernah menonton cerita berkisar kekeluargaan di tv yang sebenarnya kisah-kisah tersebut mengisahkan hal yang sebenar. Ohhh, semuanya tentang mereka ya. Tidak salah untuk saya katakan, kadang-kala kita juga pernah terdetik di hati sepertimana mereka.

Tentang apa? Tentang luahan seorang anak yang berduka cita dia dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Kurang wang ringgit, kurang kasih sayang, semuanya serba kurang.


“Kak, kenapa family saya tak macam orang lain ya? Kenapa saya dapat family yang macam ni? Kenapa mak ayah saya tak macam mak ayah orang lain?”

“Kak, saya dah penat hidup macam ni. Mak ayah saya tak pernah nak faham saya dan diorang takkan pernah  nak faham saya”

“Saya malu la kalau mak ayah saya datang sekolah. Yela, mak ayah saya tak macam orang lain”

“Hidup ni tak adil. Yela, ade orang bernasib baik dapat mak ayah yg baik. Tapi yang tidak bernasib baik macam mana pula?”


Dan tak kurang juga..


Awak senangla cakap. Sebab awak tak rasa apa yang saya rasa. Saya yang tanggung beban derita ni..bukannya awak”

"Takpela, dah takdir saya dapat mak ayah and family macam ni. Nak buat macam mana kan.. So, saya hanya akan mengikut je aturan takdir ni"

Banyaknya keluhan, rungutan, kekecewaan, kesedihan, kederitaan yang digambarkan. Tidak adilkah dunia ini? Berkata dunia ini tidak adil, bererti mengatakan Allah itu tidak adil. Sedangkan kita semua tahu Allah menjadikan tiap-tiap sesuatu itu dengan aturan dan hikmahNya yang tersendiri. Allah, Tuhan yang menciptakan kita, Dia menyayangi kita melebihi kasih sayang seorang ibu ayah terhadap anaknya. Jadi setiap apa yang dia aturkan semuanya adalah yang terbaik untuk kita. Bukan sekali-kali bertujuan untuk menyakiti hati kita atau memudaratkan diri kita.

Bukan sekadar takdir semata.

Sahabat fillah…

Dalam hidup ini kita memang tidak boleh memilih siapa keluarga kita, siapa emak dan ayah kita, siapa adik-beradik kita kerana ketahuilah bahawa emak dan ayah adalah ANUGERAH ALLAH YANG TIDAK TERNILAI. Walau siapa pun mereka, mereka adalah hadiah dan pemberian dari Allah kepada kita. Jika kita sebagai anak-anak adalah harta yang tiada tandingannya buat emak dan ayah maka begitu jugalah dengan hadirnya emak dan ayah sebaik kita mencelikkan mata ke dunia ini. Mereka adalah anugerah, hadiah dan pemberian, bukan hanya sekadar takdir yang diaturkan Tuhan.

Sayangnya Allah pada kita kan? Dianugerahinya kita seorang emak dan seorang ayah walaupun di mata kita semuanya wujud serba kekurangan pada diri mereka. Tapi di sebalik kekurangan itulah punya hikmah. Hanya jika mahu meneliti dengan kaca mata orang yang beriman.

Saya selalu berharap agar dapat sentiasa berada di sisi emak dan ayah saya dalam suatu tempoh yang lebih panjang di dunia ini. Tapi saya tahu kasih sayang Allah pada mereka melebihi kasihnya saya pada mereka. Di dunia kita pasti akan terpisah. Tapi dalam diam, saya juga selalu berharap semoga kami akan dipertemukan kembali di tempat yang lebih abadi, di syurga kerana mereka benar-benar hadiah yang paling bermakna yang Allah berikan pada saya.


 Akhir kalam, saya terjumpa ini. Selamat menonton J

Monday, November 28, 2011

Ibarat Kereta Manual



“Awak ada lesen tak”

“Ada”

“Boleh bawa manual?”

“Erk…bawa time kat sekolah memandu je. Dapat lesen, dah tak pernah practise drive manual lagi kak”

“Haaa? Rugilah awak”

Terdiam. Mengakui kebenaran.

Pada asalnya, saya begitu bersemangat mengambil lesen walaupun tak pernah memegang streng kereta sebelum ini. Hanya dengan satu tujuan, mudah ke program. Dengan menggunakan elaun mara yang disimpan selama beberapa bulan, saya daftarkan diri untuk mengambil lesen kereta. Awalnya saya begitu teruja kerana lulus teori dengan markah pernuh 50/50 sehingga ada rakan yang baru dikenali menyindir saya,


“Awak datang ceramah hari apa”

“Ahad lepas”

“Haa? Pastu amek test hari rabu. Biar betol. Awak hafal buku tu macam nak periksa SPM ke?”


Saya hanya tersenyum. Apa yang penting, saya tidak perlu mengeluarkan not lima puluh ringgit untuk mengulangi test komputer.  Sejujurnya saya agak tergesa-gesa kerana saya perlu menghabiskan dalam masa dua bulan kerana ketika itu cuti semester. Jika saya terlewat, atau barangkali tidak melepasi apa-apa bahagian ujian maka saya perlu menangguhkan ke cuti semester yang hadapan. Belajar di Melaka tetapi lessen di ambil di Selangor. Agak mustahil untuk berulang-alik hanya semata-mata untuk repeat test.Tambahan pula, di sekolah memandu tersebut, waktu test JPJ adalah pada hari Selasa, waktu kelas.

Namun dalam kelas praktikal, jujur saya hancur. Untuk sedapkan hati, saya katakan pada diri saya, biasala first time bawa kereta. Nanti lama-lama biasala.

Kelas pertama, kelas kedua , kelas ketiga, kelas keempat dijalani seperti biasa. Namun tiada satu pun yang menunjukkan saya layak untuk menduduki test JPJ. Saya sering tersangkut di tiga penjuru walaupun bukit dan parking lepas. Bukan setakat langgar garisan putih tapi langgar divider sekali.  Setelah test pra-JPJ, saya mengambil keputusan untuk menambah kelas dengan bayaran RM60 untuk dua jam sehari sebelum test JPJ. Sekolah memandu menjanjikan tempat kosong namun sehari sebelum kelas bila saya ingin memastikan kembali, hampa sungguh jawapannya.


Dik, kereta semua dah penuh la. Awak pi je la test selasa nanti. Tak payah tambah kelas la


Jujur. Saya rasa sangat terkilan ketika itu. Pagi selasa, tanpa semangat saya hadirkan diri ke sekolah memandu. Saya tidak pasti entah apa yang akan berlaku, semuanya saya serahkan pada Yang Maha Menguasai. Saya tidak mampu untuk target saya akan lulus test JPJ yang pertama ini. Lulus dekat jalan raya pun jadilah.

Namun, segalanya Alhamdulillah. Dengan kuasa Allah,Dia berikan saya kelulusan untuk ujian litar dan jalan raya pada hari itu. Sedikit kelegaan di hati. Semuanya dengan izin Allah semata. Akhirnya tanpa diduga lesen berjaya diperoleh seminggu sebelum cuti semester tamat, seperti yang ditargetkan pada awalnya.

Pulang ke rumah, saya berfikir. Beginilah dakwah ini diibaratkan. Dakwah ini ibarat kita membawa kereta manual. Payah dan sukar. Nak tukar gear. Nak seimbangkan clash dan minyak ketika berhenti di bukit. Lebih payah dari kereta auto.

Lagi-lagi, bila kita sudah terbiasa membawa kereta auto dan meninggalkan manual. Bila dalam keadaan terdesak atau kecemasan yang mana ketika itu tidak ada kereta auto, nak tak nak kita terpaksa menggunakan manual. Terpaksa redah juga jalan raya , bukit bukau bersama kereta manual . dan kebiasaannya dalam keadaan-keadaan terdesak begini, kita selalunya dapat memandu kereta manual itu hingga ke destinasi kita. La hawla wala quwwata illa billah.



Akhawat fillah, dan seperti inilah dakwah kita diibaratkan.

Bila mana Allah mencampakkan kita ke sesuatu tempat dan di situ tiada sahabat-sahabat yang sering bersama-sama kita ke daurah atau program seperti dahulu. Hanya KITA. Sama ada mahu atau tidak, kita harus terus bergerak walaupun mungkin seorang diri. Ingat semula doa yang pernah kita minta dari Dia,


Ya Allah tempatkanlah aku di tempat yang benar-benar memerlukan aku


Nah, Allah hantar kita di sini. Di tempat yang benar-benar memerlukan kita.  Maka, berhentilah mengeluh dan terus menangis. Daripada kita terus menunggu sesuatu yang tidak pasti, menunggu ada sahabiah-sahabiah yang lain untuk ditempatkan bersama-sama kita baru kita nak menggerakan dakwah ini, maka lebih baik kita mula bergerak dahulu, Walaupun seorang.

Kuatkanlah tarbiyyah zatiyyah dalam diri. Terkadang bila kita seorang diri, kita lebih berdikari dan akal kita lebih cerdas dan kreatif dalam merangka program-program tarbawi dan juga program-program tarbiyyah untuk diri kita.

Teruslah bersemangat dengan hammasah yang tinggi dalam memperbaiki diri dan mengajak sahabat-sahabat yang lain ke destinasi yang sama. Mengumpul bilangan-bilangan perkerja-pekerja yang mahu mengorbankan jiwa dan diri mereka di jalan ini. Mungkin hari ini kita seorang, esok lusa siapa tahu bilangan itu mungkin bertambah. Allahumma amen.


Hanya satu,

Terus bergerak walaupun sedikit, daripada hanya terus menunggu.

Moga thabat, sahabiah sekalian.


Saturday, October 8, 2011

Ukhuwwah Teruji?



Baru-baru ini, saya diziarahi oleh beberapa orang akhawat. Alhamdulillah, walaupun hanya seketika namun banyak yang saya perolehi. Dari taaruf mereka dan dari pengalaman hidup mereka. Walaupun sudah hampir setahun setengah saya berada di sini, namun benarlah sesi taaruf tak akan pernah berhenti. Kita akan terus saling berkenalan dan mengenali.

Saya teringat pada perkongsian suatu malam oleh ukht yang sangat saya kagumi sewaktu di bangku sekolah dahulu,

“Kalaulah seorang pasangan suami isteri yang dah tujuh lapan tahun hidup bersama siang dan malam pun masing berada dalam sesi taaruf, maka apatah lagi kita yang baru berkenalan mungkin hanya sekitar tiga empat tahun. Kita akan sentiasa berada dalam proses taaruf, mengenali ukht-ukht kita”

Proses taaruf dan berkenalan, bukan hanya sekadar satu proses kita mengenali siapa ukht kita, siapa keluarga dia,atau bagaimana attitude dia. Bukan hanya cukup dengan kita tahu, oh ini kelebihan dia, oh dia tak suka kalau kita buat macam ni, oh dia ni pemarah… Bukan sekadar itu. Tetapi di dalam proses ini, kita belajar untuk menerima segala kekurangan dan kelebihan ukht-ukht kita.

Kita masing-masing punya kelebihan dan kelemahan. Ukht kita ada kelebihan dan kekurangan dia yang tersendiri, dan kita juga apa kurangnya. Punya kelebihan dan kekurangan bukan? Antara sedar dan tak sedar, bila kita nampak sesuatu kelebihan pada ukht kita, pantas sahaja kata-kata ini keluar dari bibir kita.


“Wah, hebatnya dia bercakap”

“Pandainya dia bawa usrah. Adik-adik semua thiqah kat dia”


Namun jika kelemahan yang kita lihat,  seringkali ini pula yang terjadi.


“Sejak ana tau perangai dia macam ni, susah ana nak thiqah dengan dia lepas ni”

“La, dia ni kuat emosi ke? Tak layak nak bawa adik-adik mad’u”

“ Isy dia ni asyik sakit je. Bukan ke mukmin yang kuat tu lebih disayangi Allah dari mukmin yang lemah?”


Saya masih ingat pada pesanan seorang mas’ul saya. Beliau berpesan pada kami agar sentiasa ingat pada apa yang HAB katakan tentang ukhuwwah. Setinggi-tinggi darjat ukhuwwah adalah ithar (melebihkan saudara kita lebih dari diri kita sendiri) dan serendah-rendah tingkatan ukhuwwah adalah bersangka baik.

Ukht yang dicintai,

Andaikan saja dalam sekecil-kecil perkara kita tidak mempu berlapang dada dan bersangka baik dengan ukht kita, maka adakah lagi ukhuwwah kita dan dia ketika itu. Sedangkan serendah-rendah tingkatan ukhuwwah adalah bersangka baik. Dan andaikan saja, jika serendah-rendah ukhuwwah saja tidak mampu untuk kita capai, layakkah kita mencapai setinggi-tinggi tingkatan ukhuwwah (ithar)? Maka di manakah ukhuwwah kita saat itu?

Bila sekali dia tak datang program, terus kita judge dia dengan pelbagai andaian. Sedangkan mungkin ketika itu dia menghadapi suatu urusan yang lebih berat dan sulit.

Bila orang lain sibuk melakukan kerja tetapi dia, batang hidung pun kita tak nampak. Maka kita terus buat assumption kita sendiri, dia ni pemalas, dia ni itula, dia ni inila.

Dan biasa kan, tanpa tabayyun (menyelidiki) terlebih dahulu, kita terus menghukum ukht kita. Kita menghukum dia dengan prasangka-prasangka kita dan lebih parah lagi apabila kita menghukum dia dengan iqab yang sangat-sangat berat tanpa kita bertanya kepada dia terlebih  dahulu.

Memberi ‘iqab kepada mereka yang tidak mampu menuruti arahan mas’ul itu tidak salah. Namun contohilah qudwah yang Rasulullah tunjukkan pada kita. Menyelidiki dahulu apa yang terjadi sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan.

Ya, dia mungkin bersalah. Dia bersalah kerana tidak datang liqa’ pada sekian-sekian masa. Dia bersalah kerana tidak menghantar kerja yang diberikan pada waktu yang ditetapkan. Namun tidak salah kan jika kita bertanya terlebih dahulu sebelum menghukum dia. Kenapa dia buat begini dan begitu. Sakitkah dia? Ada masalahkah? Atau ada urusan lainkah?



Saya masih ingat saat seorang ukht saya memegang erat bahu saya. Tanpa saya ketahui kenapa. Lalu dia membisikkan sesuatu kepada saya.

“Kalau enti ada nampak apa yang ana salah pada enti, bagitau ana ya. Jangan simpan sorang-sorang. Ana tak nak ada seorang pun akhwat keciciran di jalan ini hanya kerana masalah ukhuwwah”


Lantas pada suatu hari, seorang ukht datang kepada saya.


“Enti, maafkan ana kalau ana cakap benda ni. Ana tau tak patut ada perasaan-perasaan macam ni pada diri seorang akhwat. Tapi ana tak sanggup nak simpan. Ana tak nak terus berburuk sangka dengan enti. Mungkin ana yang tersalah anggapan pada enti”

“Ya Allah ukht, kenapa ni? Tak pe cakap je, mana yang ana tersalah?”

“Ana terasa dengan kata-kata enti minggu lepas dahulu”

“MasyaAllah, kata-kata ana yang mana? Maafkan ana”

“Masa kita baru balik dari library ke kelas prep”

Kelu. Berfikir seketika.
“MasyaAllah. Maafkan ana ukht. Ana maksudkan lain sebenarnya”

“Tak pe. Ana faham. Sebab tu ana nak cakap apa yang terbuku di hati ana ni pada enti. Supaya ada penjelasan dari pihak enti dan ana tak terus berprasangka yang bukan-bukan. Ana tau enti tak bermaksud macam tu. Maafkan ana juga ukht”

Bukan selalu dapat dari hati ke hati begini. Ada orang lebih suka pendam dan simpan sendiri. Namun di jalan tarbiyyah, saya rasa amat pentingnya sorohah.  Sorohah dan berterus terang. Agar tiada prasangka antara kita. Agar segala kesalahan fahaman yang berlaku, ada penjelasan dari ukht kita. Allah, indahnya jika setiap hari kita begini. Saling membetulkan. Saling menguatkan. Saling mendokong.

Ukhuwwah itu bukan hanya sekadar kita memberi hadiah ketika hari lahirnya. Atau juga bukan sekadar kita menemaninya menjalani rutin harian hidup. Namun ukhuwwah itu sendiri menuntut sebuah pengorbanan dan kesetiaan.

Mungkin kita sudah cukup berkorban harta namun bagaimana pula dengan hati kita? Sudah cukup lapang dadakah kita?

Kesetiaan kita pula bagaimana? Kesetiaan pada doa-doa rabithah yang sering kita ucapkan. Atau dengan kata-kata manis yang sentiasa meniti di bibir.


“Ana sayang enti kerana Allah”

“Kalau enti nampak ana tersalah arah, bantu ana untuk temukan balik jalan pulang”


Dan saat kita mempunyai masalah dengan ukht-ukht kita, maka saat itulah ukhuwwah kita diuji. Kita diuji dengan apa yang kita perkatakan. Kita diuji dengan apa yang kita pinta pada Allah.



Jika ada orang mengibaratkan ukhuwwah itu seperti fair and lovely, tiap hari sayang.

Atau barangkali juga ukhuwwah itu diibaratkan seperti untaian tasbih. Ada awal tiada penghujung.

Maka, bagi saya ukhuwwah itu ibarat seperti apa yang Rasullullah sabdakan pada kita;


"Orang Mukmin di samping Mukmin yang lain ibarat sebuah binaan, saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain"

Sabda baginda lagi ;

"Perbandingan orang Mukmin dengan Mukmin yang lain ibarat tubuh yang satu, apabila satu anggotanya sakit seluruh anggota turut demam dan berjaga malam".

Cukuplah kisah persaudaraan Ansar dan Muhajirin menjadi contoh yang terbaik kepada kita dalam menjalani kehidupan ini bersama-sama ukht kita. Sehingga kisah mereka disebut-sebut oleh Allah di dalam Al-Quran. 

“Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri Madinah serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan ingatlah, sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
[Al-Hasyr,9]


Saya yakin ukht sedia tahu tentang apa yang Ansar korbankan pada Muhajirin sehingga darjat mereka diangkat begitu tinggi oleh Allah. Bermula dari saat Muhajirin tiba dari hijrah ke Madinah, kaum Ansar menyambut  dan berebut-rebut untuk memberikan tempat tinggal kepada kaum Muhajirin. Bukan sekadar tempat tinggal, malah kebun-kebun mereka dan isteri-isteri mereka.

Sehingga ada sebuah kisah yang saya baca, ketika kaum Ansar apabila memungut hasil kebun kurma, mereka membahagikan hasil pungutan itu kepada dua bahagian. Salah satu bahagian lebih banyak dari bahagian yang satu lagi. Kaum Ansar pun meletakkan pelepah-pelepah kurma di bahagian bawahnya sehingga bahagian yang sedikit itu nampak lebih banyak daripada bahagian yang banyak tadi. Mereka pun memberi bahagian yang kelihatan sedikit tetapi pada hakikatnya inilah yang lebih banyak kepada saudara mereka, kaum Muhajirin, dan mereka mengambil bahagian yang mengandungi pelepah kurma itu.

Hebat bukan ukhuwwah yang kaum ansar dan muhajirin miliki. Kaum Ansar melebihkan kaum muhajirin dalam segala hal. Kaum ansar mungkin sudah mencapai tingkatan ukhuwwah yang tinggi iaitu ithar.Kita pula bagaimana? Mampukah kita mencapai tingkatan ukhuwwah yang tertinggi apabila tingkatan yang terendah pun kita masih lagi bermain-main dengan perasaan dan prasangka-prasangka sendiri.

Jangan lihat kiri atau kanan. Jawapannya ada di dalam diri kita sendiri. Sejauh mana kehebatan ukhuwwah yang kita miliki? Adakah lebih banyak menerima daripada memberi atau sebaliknya? Tepuk dada dan tanyalah pada iman kita. Semoga kita-kita sama dikurniakan sahabat yang dapat menemani perjalanan ini hingga ke syurga (moga kita juga cuba untuk menjadi sahabat seperti itu).