Pages

Friday, March 22, 2013

Si Pemakan Jantung


Bismillahirahmanirahim.

Subhanallah walhamdulillah wala ila ha illallah Allahu Akbar!


Segala puji-pujian hanyalah layak untuk Allah.


(Gambar hiasan : Suasana persiapan pameran buku di PKNS Bangi. Mari amalkan budaya membaca)

Rasanya lama tidak menulis, bagaikan terasa kaku untuk memulakan kembali. Kebanyakkannya adalah dari faktor dari kelemahan diri sendiri yang membuatkan blog ini kian menyepi.

Alhamdulillah, beberapa hari yang lepas Allah masih mengizinkan saya untuk menghadiri taman-taman syurga yang sangat dicemburi oleh para sahabat, taman-taman yang dipayungi malaikat dan senantiasa didoakan kebaikan malaikat, taman-taman yang senantiasa dirindui oleh para perindu syurga.

Berada di dalamnya benar-benar membuat diri saya terasa kerdil. Terasa benar bahu ini kian memberat. Apakah dosa atau pahala yang mendahului.

Pengisian yang seketika cuma namun cukup mengesankan hati. Fiqh seerah yang membincangkan tentang tahun perkabungan dan tokoh wanita Hindun binti Utbah. Saat membaca dan membentangkan kisah bagaimana Nabi Muhammad menghadapi dua kematian orang yang sangat dikasihinya dalam waktu yang sangat dekat, jiwa bagai dipalit kedukaan. Kemudian mendengar pula dengan kisah Hindun, hati ini bagai tak dapat lagi ditahan-tahan. Akhirnya air yang bertakung di kolam hati, tumpah jua.

Mungkin di antara kita lebih mengenali Hindun dengan kisah kekejamannya sebagai wanita pemakan jantung. Dialah yang membunuh Hamzah (bapa saudara Nabi) kerana ingin membalas dendam kemudian dia memakan sendiri organ Hamzah. Kejam! Siapa yang sanggup? Siapa yang tegar? Apatah lagi buat Rasulullah. Hamzah adalah bapa saudara baginda! Sehingga Rasululullah tidak mahu melihat wajah Hindun.

Namun, benarlah hati manusia ini dipegang oleh Allah. Allah jualah yang berkuasa membolak-balikkan hati hamba-hambaNya. Seperti mana Umar, Hindun juga begitu. Saat cahaya hidayah menyapa, dia menjadi sebaik-baik manusia. Walaupun pada awalnya, dia berasa malu. Dia merupakan wanita pemakan jantung ketika jahiliyyah dan dia pernah memakan organ bapa saudara Nabi. Siapa yang mampu menerima hakikat ini. Namun Rasulullah tidak pernah menyimpan dendam, diterimanya Hindun.

Betapa pengasihnya Allah. Betapa baiknya hati Rasulullah. Keampunan Allah mengatasi murkanya. Sedang Allah Maha Pengampun, sedang Rasulullah juga seorang yang pemaaf, adakah kita mampu mencontohi sifat yang dimiliki oleh Rasullulah ini?

Mungkin di antara kita apabila menerima sesuatu yang diluar jangkaan (fitnahan, tuduhan, cemuhan) apatah lagi dari orang yang rapat dengan kita, kita tak mampu memaafkan. Atau pun mampu memaafkan, tetapi tidak mampu melupakan.Belum lagi diuji dengan ujian seberat (kaum kerabat dibunuh) sudah terasa tipisnya kesabaran. Lebih tipis dari kulit bawang. Bila tipisnya kesabaran, entah bagaimana pula kondisi iman di kala itu.

Kadang kala bila kita marah, kita terlupa. Marah ini kerana Allah, atau sebab diri kita sendiri. Sebagai contoh, kita ternampak seseorang yang berpakaian ketat. Lantas kita membenci. Tapi kita terlupa, benci dan marah itu kerana Allah atau sebab diri kita( sebab kita tak suka).

Kerana itulah kebanyakkan sahabat yang lebih meninggalkan amarah mereka bila mereka tidak pasti marah mereka kerana apa. Seperti kisah umar yang ingin memancung kepala seorang kafir Quraish. Lantas kafir Quraish itu meludah kepada beliau. Lantas beliau meninggalkan kafir Quraish itu tanpa memancung kepalanya kerana Umar takut dia akan memancung kepala kafir Quraish itu bukan lagi kerana Allah tetapi lantaran kerana diludah.

Ya Allah betapa hebatnya generasi sahabat! Kurniakanlah kami sifat pemaaf dan juga kesabaran seperti Rasulullah dan para sahabat. Kurniakanlah pada kami kekuatan untuk beramal seperti mereka. Kurniakanlah kami rasa rindu yang mendalam untuk menjadi tetamuMu di syurga.


Semoga Allah meredhai dan menerima amal kita semua

-Hulu Langat-

No comments: