Pages

Saturday, June 11, 2011

Baitul Muslim : Benarkah Bersedia?


Sejak saya melangkah ke alam yang semakin dewasa (alam universiti ) baru saya tersedar  isu-isu baitul muslim semakin hangat diperbincangkan. Seorang kawan saya pernah melontarkan pandangannya pada saya,


“Biasanya kan golongan ustaz ustazah ni kahwin awal. Belum habis belajar dah gatal nak kahwin” katanya.

“Oh ya?,”  saya cuba menunjukkan minat sebaik mungkin.

“Yela, kawan saya sebelah rumah tu baru 19 tahun dah kahwin,” terangnya lagi.

“Kenapa macam tu ya?”tanya seorang kawan saya yang lain.

“Alah, memang macam tu. Orang-orang agama memang gatal nak kahwin awal. Kononnya nak tahan nafsu. Ha, awak jangan jadi macam tu ya. Tunggu habis belajar ya,”sempat dia memberikan nasihat kepada saya.


Itu satu cerita. Namun masih ada cerita lain.




# Kisah 2 #


“Tau tak tadi ketua kita tanya kat akak, sekarang ni tengah musim kahwin ke?”luah seorang kakak yang sangat akrab dengan saya.

“Ha? Kenapa pula?” saya memang tidak mengerti.

“Yela sekarang ni banyak status kat fb pasal Baitul Muslim”

“erm” saya tidak tahu menjawab apa.

“Even orang-orang yang kita thiqah pun tulis status jiwang-jiwang kat fb” tambahnya lagi.

Saya teringat. Memang benar. Sudah lama saya tak dapat online kerana masalah internet. Sesekali berpeluang untuk log masuk ke fb, saya terperanjat membaca status-status yang ada. Sehingga ada yang menulis ‘wahai lelaki tolong jangan jadikan diri kami fitnah kepada kalian.Kalau benar kalian menginginkan yang halal dan jika benar kami tercipta untuk kalian maka suntinglah kami dengan cara benar’. Saya terdiam membaca status tersebut. Terasa terbalik pula ayat itu ditujukan.

Kadang-kadang kita merayu kepada lelaki agar diri kita tidak menjadi fitnah kepada mereka tetapi sebaliknya tindak tanduk kaum hawa itu sendiri yang menjadikan diri mereka fitnah kepada kaum adam. Tersipu-sipu memberi salam, memanggil-memanggil si lelaki dengan panggilan yang lunak dan panjang. Bukankah mereka sendiri yang mencampakkan diri mereka ke dalam fitnah?


Itu baru satu kisah dari status fb, di dunia realiti pula bagaimana?


# Kisah 3 #


"Uyyo, diorang ni macam mama dengan papa la. Sepadan betul "


"Ha'ah la. Macam Baitul Muslim"


"Betul-betul. Boleh dirikan Baitul Muslim da"


"Kalau macam tu bukan mama papa tapi Umi dengan Abi"


Ini juga baru satu kisah. Kisah sakat menyakat. Gurau senda dalam kehidupan juga tak lari dari persoalan perkahwinan.


# Kisah 4 #


"Abang tutttttttttttt tu solehla. Tu saya punya"


"Apa ni, tu saya punya. Awak amekla abang tutttttttttttt ni. Dia pun soleh gak,"


Ini kisah gurauan lagi. Namun gurauan pun, jika dibiasakan buat pasti akan meninggalkan kesan di dalam hati. 


Dan kisah-kisah di atas hanya dua tiga buah kisah yang berlaku. Sebenarnya banyak lagi kisah yang tak mampu untuk saya ceritakan di sini. Ataupun, kalau ingin lebih mudah buka terus wall facebook. Pasti ada banyak status-status tentang ini walaupun status tersebut nampak seperti soleh adakalanya juga nampak seperti doa.


Salahkah menulis di facebook?


Salahkah walaupun hanya sekadar bergurau?


Saya tidak katakan salah. Memang tidak salah sekalipun kita hanya berimpian ke arah itu. Semua lelaki pasti menginginkan zaujah yang solehah dan semua perempuan mengimpikan zauj yang soleh. Lebih dari itu, kedua-duanya pasti menginginkan zuriat keturunan yang soleh dan musleh.


Namun, harus diingat. Impian dan angan-angan itu berbeza. Jadi, kalau sampai setiap hari sebelum tidur dah terbayangkan bagaimana nanti bila ada suami dan anak-anak, fikir-fikirkanlah. Mungkin kita bukan lagi berimpian tapi berangan-angan.  


Begitu juga jika nak bergurau, rasa nak bergurau tentang isu kahwin sahaja seperti tak ada isu lain lagi yang boleh diguraukan. Tidak salah untuk bergurau tetapi jika berlebih-lebihan boleh membawa masalah pada hati. Seperti yang saya katakan sebelum ini, walaupun niat kita hanya bergurau tetapi gurauan itu pasti mendatangkan kesan sedikit-sebanyak kepada hati. Kalau tidak pada hati anda, mungkin pada hati orang yang anda jadikan bahan gurauan.


Bagaimana kalau dia mengambil serius apa yang kita guraukan? Kita bergurau-gurau dengan dia bahawa dia sepadan dengan B sebab si B dan dia ni sama-sama hebat dalam dakwah. Boleh jadi dia akan asyik teringat-ingatkan si B dan jatuh suka pula walaupun sebelum ni tak suka sebab si B ni sekian sekian. Ingat, kalau itu terjadi kita juga mendapat sahamnya. Mendapat saham kerana akhirnya si dia yang kita jadikan bahan gurauan ni akhirnya susah nak letakkan Allah sepenuhnya dalam hati. Malah mungkin ketika belajar pun teringat-ingatkan si B. Jangan lupa bahawa, jahiliyyah dan cahaya Allah takkan bergabung. Jadi jika hati dah dinodai, mungkinkah kita mampu meletakkan Allah sepenuhnya dalam hati lagi?


Sama jugalah kisahnya dengan menulis status di facebook. Kalau sehingga ke tahap tu, telah jelas sekali fikiran kita dah dipenuhi dengan masalah cinta dan perkahwinan. Kerana apa? Sebab dalam banyak-banyak perkara, tentang 'itu' juga yang terlintas di fikiran kita untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan.


Dan sebenarnya bila kita asyik melaung-laungkan kalimah 'Baitul Muslim', boleh jadi kita tak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut.Tidak faham, tidak tahu atau mungkin terlupa bahawa sebenarnya pembinaan baitul muslim tidak akan terbentuk tanpa pembinaan individu muslim.

Dan bagaimana pula dengan pembinaan individu muslim kita? Dah terbentuk?


Amal fardhi kita macam mana? Solat kita?

Muwasafat tarbiyyah pula?

Dari segi academic standing?

Hubungan dengan Allah pula bagaimana?

Dan bagaimana pula hubungan dengan manusia. Masih mengumpat? Masih mengucapkan kata-kata lagho(sia-sia) dan kesat?

Bagaimana nak dirikan baitul muslim dan mendidik anak-anak nanti kalau perkara-perkara kat atas ni pun belum settle. Bayangkan jika seorang ibu atau bapa yang masih mengucapkan perkataan-perkatan lagho dan kesat, bagaimana mungkin dia mampu mendidik anaknya untuk tidak melakukan hal yang sama.


Baitul muslim lahir dari pembinaan individu muslim.


Kalau kita benar-benar faham makna pembinaan baitul muslim kita juga pasti faham erti pembinaan individu muslim juga bukan? Namun sayang, hari ini lebih ramai yang memperkatakan soal pembinaan baitul muslim berbanding pembinaan individu muslim sedangkan pembinaan individu muslim itulah yang perlu dibentuk dahulu.


Saya berikan satu analogi yang sangat mudah. Baitul muslim ni ibarat kita menaiki anak-anak tangga sebelum sampai ke tingkat atas. Dan sebelum memijak anak tangga baitul muslim, kita perlu memijak dahulu anak tangga individu muslim. Selepas itu barulah kita boleh jejakkan kaki kita ke baitul muslim dan anak-anak tangga seterusnya sehinggalah ke matlamat kita yang paling besar, ustaziatul alam.

Ajal, maut, jodoh pertemuan semuanya sudah ada dalam ketetapan Allah. Tetapi manusia lebih merisaukan tentang jodoh pertemuan yang tak kunjung datang sedangkan kematian sudah sentiasa menunggu-nunggu di hadapan.  Boleh jadi kematian itu datang lebih dahulu dari jodoh yang sering kita risaukan. Naudzubillahiminzalik andainya kita datang di hadapan Allah tanpa sempat membuat apa-apa persiapan dan bekalan.


" وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ "



“Dan perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik “ [24 : 26]


Itu janji Allah. Yakinlah. Memang ramai orang disekeliling kita telah membina baitul muslim lebih awal. Tapi satu benda yang perlu kita perhatikan. Mungkin mereka telah lebih bersedia sebelum kita. Dari segi amal fardhi, tiada lagi ucapan-ucapan lagho, tiada berangan-angan hingga meluahkan perkara tidak sepatutnya di facebook dan banyak lagi. Jadi jika kita belum bersedia dengan perkara-perkara tersebut, siapkanlah diri dengan pembinaan diri dahulu. Pembinaan individu muslim. Itu yang lebih utama.


 Ayuh kita ke agenda yang lebih besar. Yang lebih utama.  Semoga Allah meredhai.


p/s: Dialog-dialog di atas adalah situasi sebenar yang diedit ucapannya demi menjaga hati semua pihak. Mohon maaf atas sebarang khilaf yang tidak disengajakan. Segala kritikan atau teguran amat dialu-alukan.


Friday, May 27, 2011

meraih cinta


"Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya"

Nikmatnya ! Seandainya setiap saat aku mampu berada dalam dakapan cinta Dia. Namun menghadirkan rasa cinta itu tidak semudah menuturkannya.

Kerana terkadang cinta yang kuberi kepada manusia itu melebihi cinta yang sepatutnya aku dambakan kepada Pemilik Cinta.

Bila cinta yang aku berikan kepada keluarga dan orang yang paling akrab denganku tidak mampu untuk membuatkan aku sanggup mengorbankan mereka demi cinta aku kepada Al-Khaliq

Bila cinta dan kasih aku kepada sahabat yang kononnya didasarkan ukhuwwah fillah tidak mampu menghindarkan aku dari maksiat.


Bila sayang aku akan sepotong dunia tidak mampu untuk membuat aku berkongsi akannya bersama yang lain.

Ah, andaikan saja jika aku bisa seperti Saad bin Abi Waqqas. Mengutamakan Sang Pencipta melebihi keluarga. Perit tapi itulah harga yang perlu dibayar demi meraih redhaNya semata.

Apalah erti cinta dan kasih pada sahabat . Jika umpatan, kata-kata kesat, gosip, dan fitnah masih terus meniti di bibir.

Jika sesaat pertemuan tidak mampu menghadirkan walau sebiji zarah keimanan.

Jika dalam perbualan-perbualan tidak pernah hadir walau sekelumit ayat mengingati Dia.

Masih adakah cinta aku pada Dia bila hatiku masih terpaut akan harta dunia. Bila mana harta yang paling aku sayangi tidak sanggup aku korbankan.

Sungguh berat untuk mengorbankan barang-barang yang paling dicintai. Andai saja aku bisa seperti Saidina Uthman bin Affan. Menggadaikan harta demi ummah dan jalan yang dicintai ini.

"Ya Allah, andai kau hadirkan aku kecintaan pada perkara-perkara yang Kau miliki, maka jadikanlah ia hanya sebagai wasilah (jambatan) untuk aku memiliki cintaMu"

Sungguh, untuk meraih cinta dari Pemberi Cinta itu perlukan mujahadah yang sangat tinggi. Ya Allah, thabatkanlah kami.

Wednesday, May 25, 2011

Mahalnya harga sebuah pengalaman





Sesekali berpeluang untuk berbual dengan sahabat-sahabat lama yang telah terbang jauh keluar dari sempadan tanah air tercinta, membuatkan saya banyak berkongsi pengalaman bersama mereka. Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan maka banyaklah pengalaman. Jauh di sudut hati saya, pasti pengalaman di negeri orang telah mendewasakan mereka menjadi seorang akhawat yang kental dan serius. Saya di sini, mungkin masih lagi bermain-main.

Walaupun daerah saya sekarang hanya disempadani oleh sebuah negeri, masih ada pengalaman berharga yang perlu saya kutip dan pelajari di sini. Saya tidak pergi jauh. Menimba ilmu di negeri tempat saya membesar dahulu. Namun sejauh mana pun perjalanan kita, ataupun barangkali kolej hanya berada di depan rumah kita, saya tetap yakin ini. Pasti ada pengalaman yang telah kita peroleh. Pasti ada perkara yang telah kita pelajari.Alam IPT berbeza dengan alam sekolah menengah, inilah antara kata-kata yang sering senior saya ingatkan. Begitu juga dengan alam pekerjaan yang jauh lebih mencabar.

Satu tahun saya di sini. Saya cuba belajar untuk menangis, ketawa, tersenyum dan entah apa lagi perasaan  yang ada. Di sekolah dahulu mungkin saya berada di zon yang selesa. Namun di sini, segalanya perlu berdiri di atas kaki sendiri.

Tapi ALHAMDULILLAH…Allah temukan saya dengan sahabat-sahabat yang juga punya satu keinginan yang sama. Matlamat yang sama. أصلح نفسك وادع غيرك. Yang ingin perbaiki diri dan sama-sama mengajak orang lain kepada kebaikan. Sebab di mana pun kita berada kita perlu mencari dokongan dan jangan sekali-kali mengasingkan diri kita dari sahabat-sahabat yang soleh.

Namun ujian kesenangan itu tidak akan selalunya lama.


" لا يكلف الله نفساً إلا وسعها "

 Apakah kamu mengira kamu telah beriman sedangkan kamu tidak diuji. [ 2 : 286 ]




Dalam kita seronok buat amal fardi dan amal dakwah pasti ada mehnah yang melanda. Kadang-kadang semangat kita untuk terus berjuang ni tinggi sangat. HIMMAH ALIYYAH. Kadang-kadang juga semangat yang tinggi tu jatuh sedikit demi sedikit.

Jatuh bilamana kita rasa dah tak ade support kat sekeliling kita.
Jatuh bila banyak mulut mempertikaikan apa yang kita lakukan.

Sememangnya kita juga manusia. Yang namanya manusia itu, tidak akan selalunya berada dalam semangat yang tinggi.

Pernah tak kita rasa kawan rapat kita sendiri pun tak suka kita buat amal dakwah ni. Kita dilabelkan sebagai remaja kolot kalau tak tengok wayang dan tak bergosip dengan lelaki. Atau mungkin pergi ke program-program ilmiah tu satu perkara yang membuang masa. Lebih baik study. Kita kan student. Matlamat utama, belajar dan banggakan mak ayah.

Pernah tak orang pertikaikan penampilan kita? “Kenapa nak pakai labuh-labuh? Tudung nak labuh, t-shirt nak labuh. Kan pakai macam ni pun da tutup aurat even tak labuh sampai lutut pun.Lecehlah” :D

Atau pun yang paling kerap berlaku. Orang surau ni bukannya baik sangat pun. Even tudung labuh alim-alim kucing pun still buat benda tak baik.

Pernah alami situasi-situasi tersebut? Mungkin kadang-kadang kita kuat nak hadapi benda-benda macam ni. Mulut orang, kita tak mampu untuk tutup. Tapi tak mustahil kadang-kadang kita lemah tak berdaya. Mungkin sometimes, kita akan menangis sampai teresak-esak bila dah tak mampu nak adapt lagi dengan situasi-situasi macam ni. Lebih teruk lagi kalau kita sampai rasa nak keluar dari medan perjuangan ni.

Sebenarnya inilah pengalaman. Atau lebih tepat ujian ini sebenarnya guru yang mengajar kita. Mengajar kita bagaimana untuk stabilkan emosi. Macam mana nak jadi kuat. Bagaimana nak muayyashah dengan masyarakat sekeliling kita. Tapi bagi saya, kalaulah kita berpeluang mendapatkan pengalaman-pengalaman macam ni sebenarnya benda first yang kita akan belajar ialah siapa dahulu patut kita luahkan segala perasaan sedih ini. ALLAH atau SAHABAT SEFIKRAH. Tak salah untuk meluahkan pada seorang manusia tetapi jadikanlah Allah dahulu sebagai tempat kita mengadu.

Pengalaman-pengalaman ni mahal harganya. Lagi kita rasa perit, lagi mahal harga sebuah pengalaman tu. Bukan senang nak dapatkan dari tempat lain. Kalau kita sentiasa dikelilingi biah solehah dan kawan-kawan yang semuanya memahami islam secara majoritinya, jadi bila masanya lagi kita nak rasa pengalaman-pengalaman berharga ini bukan? Dan bila masanya lagi kita nak belajar untuk jadi kuat? Dan entah bila pula kita akan belajar menjadikan Allah sebagai sebaik-baik tempat untuk kita serahkan segalanya.

Jadi…kuatlah! Be tough. Belajarlah untuk muayyashah dengan masyarakat sekeliling kita. Dan apa yang paling penting, belajarlah untuk mengenal diri sendiri. Sejauh mana kekuatan dan kelemahan kita. *Akan kuatkah kaki yang melangkah bila disapa duri yang menanti?*

Allah sayangkan kita dan sebab tu Dia beri kita pengalaman berharga ni.
Juga kerana

" ليبلوكم أيكم أحسن عملا "
Untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. [ 67 : 2 ]

Dan ingatlah, kasih sayang Allah melebihi segala apa yang ada di dalam dunia dan isinya.

Biarpun pahit namun cubalah untuk mempelajari sesuatu dari pengalaman yang kita peroleh. Pengalaman itu, sungguh mahal harganya. Pada masa lain dan di tempat yang lain belum pasti kita boleh mendapatkan pengalaman yang serupa ini. Jadi, hargailah ia.